Ismail Sabri: Usah buat pembelian panik, barang keperluan mencukupi

Bernama
Julai 26, 2013 16:14 MYT
Menjelang dua minggu sambutan Aidilfitri, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yakin barang keperluan makanan adalah mencukupi.
Sehubungan itu, menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata orang ramai tidak perlu risau atau membuat pembelian panik.
"Peniaga atau pemborong pula tidak perlu bertindak menyorokkan barang kerana kementerian sudah menjangkakan permintaan akan meningkat menjelang musim perayaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata kementerian sudah meningkatkan jumlah import kelapa sebanyak 10 peratus lagi iaitu tiga juta biji kelapa daripada jumlah keseluruhan sebanyak 30 juta.
Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Agrofresh Holdings Berhad dan syarikat dari China Dashang Group untuk mengeksport pisang jenis Cavendish.
Beliau berkata menerusi perjanjian berkenaan, ia sekali gus memberi peluang kepada petani untuk mempertingkatkan keluaran pisang jenis itu memandangkan pasarannya semakin meluas.
"Diharapkan juga menerusi perjanjian itu akan membuka lebih banyak peluang untuk mengeksport buah-buahan tempatan kita ke China," katanya.
#barang keperluan #ismail sabri yaakob
;