Ismail Sabri serlahkan ciri baharu diplomasi Malaysia

Bernama
Ogos 15, 2022 14:57 MYT
Ciri-ciri yang digagaskan Ismail Sabri Yaakob boleh menjadi kerangka kerja asas dalam menentukan hala tuju diplomasi negara dalam dunia pasca pandemik. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Penggunaan Bahasa Melayu di pentas forum antarabangsa dan mesyuarat dua hala serta konsep "Keluarga Dunia" yang diperkenalkan menjadi antara ciri baharu dalam hubungan antarabangsa Malaysia di bawah tampuk kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Penganalisis hubungan antarabangsa menyifatkan Perdana Menteri, yang bakal menyambut ulang tahun pertama menyandang jawatan itu, sebagai pemimpin utama yang mendaulatkan Bahasa Melayu hingga ke persada antarabangsa dan mengingatkan dunia harus bekerja sebagai sebuah keluarga dalam mendepani cabaran global semasa.
Sejak mula lagi, beliau mengotakan janjinya apabila menggunakan bahasa kebangsaan dalam mesyuarat rasmi serta rundingan dengan diplomat asing dalam dan luar negara, termasuk ketika lawatan negara ke Brunei, Kemboja dan Thailand.
Beliau juga memilih menggunakan Bahasa Melayu semasa mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden ketika menyertai Sidang Kemuncak Khas AS-ASEAN di Washington D.C Mei lalu dan pada pertemuan dengan Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi di Kuala Lumpur awal bulan ini.
Perdana Menteri Malaysia Kesembilan itu turut mencadangkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.
"Kita tidak perlu berasa malu atau kekok untuk menggunakan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa kerana usaha memartabatkan Bahasa Melayu ini juga selari dengan satu daripada bidang keutamaan Kerangka Dasar Luar Malaysia yang telah dilancarkan oleh kerajaan pada 7 Dis 2021," katanya pada Mac lalu.
Justeru, Ismail Sabri dijangka menyampaikan ucapannya dalam Bahasa Melayu pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 bulan depan dan Sidang Kemuncak ASEAN di Phnom Penh, Kemboja pada November.
Pakar Geostrategi Universiti Teknologi Malaysia, Prof Dr Azmi Hassan Azmi dan Penganalisis Hal Ehwal Antarabangsa, Prof Madya Dr Roy Anthony Rogers Peter Rogers memberitahu Bernama, usaha Ismail Sabri menggunakan bahasa kebangsaan dalam dasar luar negara, wajar dihargai.
Bagi Prof Azmi, apa yang lebih penting adalah penggunaan bahasa ibunda oleh pemimpin mempamerkan jati diri rakyat negara berkenaan.
Prof Roy Anthony turut meluahkan pendapat sama dengan menyatakan, Malaysia sebagai kuasa sederhana perlu mempamerkan identitinya sendiri dalam arena hubungan antarabangsa dengan memupuk budaya diplomasi antaranya menerusi penggunaan Bahasa Melayu.
Mengulas mengenai "Keluarga Dunia", Prof Azmi menegaskan, konsep ini suatu yang wajar difikirkan memandangkan keadaan geopolitik serta kekalutan ekonomi semasa, semuanya dilihat kerana mahu menjaga kepentingan diri.
"Konflik yang melanda dunia sekarang seperti perang Rusia-Ukraine berlaku kerana pihak yang bertelagah itu memikirkan diri sendiri. Itu bukan konsep keluarga, kerana keluarga memikirkan juga kepentingan orang lain supaya kesefahaman atau keakraban dapat dicapai.
"Memang sukar untuk Malaysia sebagai satu negara kecil untuk mengutarakan konsep ini, tetapi pengalaman dasar luar kita adalah selari dengan konsep 'Keluarga Malaysia' dan 'Keluarga Dunia'," kata Prof Azmi.
Konsep Keluarga Dunia dikembangkan daripada gagasan Keluarga Malaysia yang beliau perkenalkan ketika mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan mengetengahkan idea itu di persidangan antarabangsa termasuk pada sidang UNGA ke-76 pada September 2021.
Setakat ini, Ismail Sabri sudah mengadakan 12 kunjungan rasmi dan lawatan kerja keluar negara bagi mengukuhkan hubungan dua hala serta berbilang hala serta bagi memastikan suara Malaysia didengar di persada antarabangsa dan serantau.
Sama seperti perdana menteri sebelum beliau, Ismail Sabri melawat negara jiran bagi memperkenalkan diri bermula dengan Indonesia pada 9 hingga 11 Nov diikuti Singapura 29 Nov sebelum ke Thailand pada 23 hingga 26 Februari lalu.
Negara lain yang dikunjunginya ialah AS, Brunei, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Kemboja, Qatar, Turkiye dan Vietnam.
"Lawatan rasmi ke luar negara dan pertemuan dengan pemimpin luar adalah penting supaya hubungan dua hala antara Malaysia dengan negara yang dilawati itu terjalin kukuh," kata Prof Azmi.
Kedua-dua penganalisis turut berkata, Ismail Sabri menegaskan, pendirian teguh Malaysia berhubung perkara membabitkan kedaulatan dan keselamatan sesebuah negara, mengekal dan mempertahankan pendirian berkecuali Malaysia seperti yang dipamerkan menerusi dasar tidak berpihak negara berkaitan konflik Rusia-Ukraine dan ketegangan di Selat Taiwan.
Tanpa memihak kepada mana-mana pihak bertelagah, Azmi berkata, Malaysia masih tetap menyuarakan kebimbangan mengenai isu berkenaan dan menggesa pihak terlibat untuk kembali ke meja rundingan.
Pada pertemuan dengan Presiden AS yang turut disertai pemimpin ASEAN lain ketika sidang kemuncak di Rumah Putih pada Mei lalu, Ismail Sabri tanpa rasa gentar terhadap sebarang tindak balas, membangkitkan isu Palestin, suatu yang rapat dengan jiwa Malaysia dan dunia Islam.
Pada mesyuarat itu, Ismail Sabri menggesa AS untuk campur tangan dan menghentikan tindakan Israel daripada terus melakukan kekejaman terhadap Palestin dan rakyatnya.
Pada peringkat serantau terutama di pentas ASEAN, Ismail Sabri menyuarakan pendirian teguh Malaysia berhubung krisis di Myanmar sejak rampasan kuasa pada 1 Feb (2021) serta kemelut pelarian Rohingya berikutan Malaysia menjadi tuan rumah kepada kira-kira 200,000 pelarian.
Prof Azmi berkata Ismail Sabri juga tegas dalam soal tuntutan bertindih di Laut China Selatan dengan tetap berpegang kepada perundingan antarabangsa seperti Konvensyen Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS), terutama dalam perundingan penyelesaian Kod Tatalaku (COC) Laut China Selatan.
Prof Roy Anthony berkata, Perdana Menteri sentiasa peka dengan perkembangan antarabangsa dan dalam kalangan pemimpin awal yang menyuarakan kegusaran terhadap pakatan tiga pihak membabitkan AS, United Kingdom dan Australia atau singkatannya AUKUS, bimbang ia bakal mencetuskan perlumbaan senjata dan meningkatkan ketegangan serantau.
"Berdasarkan hakikat cabaran bidang diplomasi sejak 12 bulan lalu seperti pembentukan AUKUS, perang Ukraine dan terbaru lawatan Pelosi yang menghangatkan lagi ketegangan AS-China, Perdana Menteri berjaya mempamerkan kepemimpinan menakjubkan di arena hubungan antarabangsa," katanya.
Ciri-ciri yang digagaskan Ismail Sabri boleh menjadi kerangka kerja asas dalam menentukan hala tuju diplomasi negara dalam dunia pasca pandemik yang menyaksikan cabaran baharu dan tidak pernah berlaku sebelum ini muncul dari semasa ke semasa. - BERNAMA
#Perdana Menteri #ismail sabri yaakob #ciri baharu diplomasi #Keluarga Dunia
;