Ismail Sabri selamat tiba selepas lawatan ke New York, Abu Dhabi

Bernama
September 29, 2022 05:33 MYT
Ismail Sabri disambut sebagai wira Bahasa Melayu oleh ratusan yang hadir di KLIA malam tadi kerana mencatat sejarah apabila berucap dalam bahasa kebangsaan di UNGA di New York. - Foto Twitter BERNAMA TV
SEPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selamat tiba di tanah air malam tadi selepas menamatkan lawatan kerja ke New York dan Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pesawat yang membawa Perdana Menteri dan delegasinya tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 10.30 malam.
Perdana Menteri melawat New York dan UAE masing-masing selama empat hari.
Beliau disambut ratusan yang hadir di KLIA sebagai wira Bahasa Melayu kerana mencatatkan sejarah, apabila berucap dalam bahasa kebangsaan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York.
Antara yang hadir ialah kakitangan Dewan Bahasa dan Pustaka bersama wakil Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), yang membawa plakad antaranya "Ismail Sabri Wira Negara Angkat Bahasa Negara di Pentas Dunia".
Di UNGA yang menghimpunkan lebih 150 pemimpin dunia untuk acara tahunan itu, Ismail Sabri menyampaikan Kenyataan Negara dalam bahasa Melayu - kali pertama oleh seorang pemimpin Malaysia berucap menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya pada perhimpunan diplomatik terbesar itu.
Beliau turut menyentuh pelbagai isu antarabangsa antaranya konflik di Ukraine, isu Myanmar dan Palestin serta sekuriti makanan dan perubahan iklim.
-- BERNAMA
#ismail sabri yaakob #lawatan luar negara #wira Bahasa Melayu #UNGA
;