Ismail Sabri saran kerajaan perkasa bahasa Melayu melalui urusan rasmi

Bernama
September 23, 2024 13:47 MYT
Ismail Sabri menyeru kerajaan supaya mengambil langkah menyatukan pelbagai versi bahasa Melayu seperti versi Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand sebagai bahasa kedua ASEAN. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memperkukuh penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi termasuk ketika mengadakan lawatan kerja ke luar negara demi memartabatkan bahasa kebangsaan di persada antarabangsa, kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Kita bermulalah dulu dengan kerajaan dan selepas itu kita minta pihak swasta. Apabila pihak swasta mengajak kita merasmikan program, dia kena ikut (garis panduan) kitalah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu Ketiga di sebuah hotel di sini hari ini.
Beliau berkata bagi acara yang melibatkan hadirin antarabangsa, terdapat pelbagai kaedah efektif untuk memastikan penyampaian mesej difahami khalayak apabila bahasa kebangsaan digunakan, seperti terjemahan langsung daripada penterjemah dan skrin LED yang memaparkan sari kata.
Terdahulu, dalam ucapannya Ismail Sabri menyeru kerajaan supaya mengambil langkah menyatukan pelbagai versi bahasa Melayu seperti versi Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand sebagai bahasa kedua ASEAN bagi meningkatkan keyakinan terhadap bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.
"Bahasa Inggeris dan bahasa lain juga penting tetapi jangan sampai kita mengabaikan bahasa kebangsaan. Bahasa melambangkan bangsa," katanya.
Beliau turut menyarankan supaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diberikan lebih banyak kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang supaya tidak berlaku pertindihan dengan pihak lain seperti pihak berkuasa tempatan (PBT).
Simposium dua hari itu juga diharap dapat mencetus perubahan baharu dalam agenda memartabatkan bahasa Melayu sama ada di dalam negara atau di peringkat antarabangsa, katanya.
-- BERNAMA
#ismail sabri yaakob #perkasa bahasa Melayu #urusan rasmi #lawatan kerja ke luar negara
;