Ismail Sabri perkenal dimensi baharu dalam diplomasi Malaysia

Rahman Hussin
Ogos 21, 2022 13:16 MYT
Mesej Perdana Menteri kepada komuniti dunia cukup jelas, cabaran global yang berlaku hari ini tidak boleh diatasi secara bersendirian atau 'solo'. - Gambar fail
KUNJUNGAN Speaker Dewan Perwakilan (Dewan Rakyat) Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi ke Malaysia pada 2 Ogos lalu melakar sejarah bermakna kepada negara. Terutamanya dalam menzahirkan hubungan diplomatik yang terus erat mengukuh dibawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta kerajaan AS itu sendiri.
Kuala Lumpur adalah persinggahan kedua Pelosi dan delegasinya dalam siri lawatan rasminya ke empat negara Asia selepas melawat Singapura sehari sebelumnya, sebelum delegasi itu meneruskan kunjungan ke Korea Selatan dan Jepun.
Untuk rekod, ia adalah lawatan sulung dan cukup bermakna bagi Pelosi ke Malaysia, terutamanya dirinya yang diletakkan sebagai pemimpin nombor tiga dalam senarai pengganti presiden dan satu-satunya wanita yang pernah berkhidmat sebagai Speaker Dewan Perwakilan AS. Selain beliau, turut serta dalam kunjungan itu ialah pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Rakyat AS, Gregory Meeks.
Ternyata, pemilihan Malaysia sebagai antara dua negara ASEAN yang dikunjungi beliau, telah menyerlahkan sisi tegas kerajaan Keluarga Malaysia dalam menyuarakan isu penting yang melingkari dunia mutakhir ini, selain bukti penerimaan dasar luar Malaysia pimpinan Ismail Sabri yang terus diyakini serta diterima baik negara luar khususnya AS, iaitu negara paling berpengaruh di dunia.
Hubungan diplomatik antara AS dan Malaysia mula terjalin pada 1957 iaitu selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu daripada Britain. Pada April 2014, hubungan dua hala Washington dan Kuala Lumpur dinaik taraf kepada Perkongsian Komprehensif.
Sudah tentunya, kunjungan Pelosi sebelum ini secara langsung meletakkan kedudukan Malaysia, sebagai sebuah negara membangun yang mempunyai pengaruh diplomasi tersendiri dan cukup disegani di pentas antarabangsa.
Khususnya peranan Malaysia sendiri sebagai jurucakap utama ASEAN yang konsisten terhadap isu sejagat seperti keselamatan perairan, pemerdagagan manusia, ekonomi dan perdagangan dua hala. Dasar luar Malaysia yang berkecuali dan mengutamakan kestabilan dan manfaat bersama antara negara serantau ini, cukup disenangi AS.
Ini jelas terzahir dari kenyataan balas Pelosi sebaik sesi pertemuannya dengan Ismail Sabri, dengan menyatakan komitmen untuk kedua-dua negara terus sepakat dan bekerjasama dari sudut kepentingan keselamatan bersama, ekonomi, perdagangan, pemerdagangan orang dan isu iklim.
Dalam pertemuan itu, Pelosi juga menzahirkan penghargaan ke atas undi Malaysia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkenaan pencerobohan Russia ke atas Ukraine, disamping ketegasan kepimpinan ASEAN untuk mengkritik Myanmar atas tindakan keras junta terhadap rakyatnya.
Selain isu keselamatan dan kedaulatan di Laut Cina Selatan, konflik Myanmar sememangnya menjadi agenda penting terhadap dasar luar Malaysia. Sejak menerajui kerajaan, isu ini bukan pertama kali dilontarkan Ismail Sabri terhadap AS menerusi pertemuannya dengan Pelosi, bahkan dalam siri kunjungan Perdana Menteri ke banyak negara luar bertemu pemimpin utama sebelum ini.
Ketika Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS (ASEAN-US Special Summit) di Washington DC pada 12 dan 13 Mei lalu contohnya, Ismail Sabri turut mengutarakan isu sama dihadapan Presiden AS, Joe Biden.
Bahkan juga, ketika pertemuannya dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah pada Februari 2022 serta pemimpin utama ASEAN lain. Malaysia hingga kini, konsisten mahukan supaya konflik melibatkan junta di Myanmar itu diselesaikan secara diplomatik dengan pematuhan pemerintahan junta terhadap konsensus lima perkara yang dipersetujui ASEAN sebelum ini.
Selain itu, dalam isu perang Russia-Ukraine, Ismail Sabri berulang kali menyatakan ketegasannya supaya satu jalan penyelesaian damai yang terbaik di antara dua negara itu mesti segera dicapai, seterusnya berharap konflik berdarah yang sudah berlarutan lebih lima bulan berakhir.
Peperangan di benua Eropah itu memberi kesan langsung terhadap Malaysia khususnya berkaitan isu sekuriti makanan, memandangkan Russia dan Ukraine adalah negara pengeluar utama bagi gandum dunia.
Namun, dalam mendepani kegusaran dari konflik global yang tercetus itu, Ismail Sabri tidak sekadar memeluk tubuh.
Dalam siri lawatan ke Turkiye bertemu Presiden Recep Tayyip Erdogan baru-baru ini, Perdana Menteri memberi penekanan penting terhadap isu itu selepas gangguan rantaian bekalan global kesan dari perang berkenaan, mula mengakibatkan bekalan makanan negara terjejas.
Sebagai negara yang mempunyai nilai pengeluaran gandum tahunan mencecah hampir 20 juta tan, kerjasama antara Malaysia dan Turkiye cukup penting terutama dalam memastikan rantaian bekalan makanan khususnya produk berasaskan gandum sentiasa mencukupi dan stabil di keduadua negara.
Untuk rekod, sejak mengambil alih tampuk kerajaan pada 21 Ogos 2021, Ismail Sabri sudah mengunjungi tidak kurang 10 negara asing. Ia bermula dengan siri lawatan kerjanya ke Singapura, kemudian ke Indonesia bertemu Presiden Joko Widodo atau Jokowi, dan beberapa negara lain termasuk Kemboja, Thailand, Vietnam, Jepun, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Kunjungan Ismail Sabri ke Singapura dilihat titik tolak penting kepada usaha Malaysia dan negara jiran terdekat itu untuk membuka kembali sempadannya sekaligus merancakkan ekonomi antara dua negara, yang sebelum ini terjejas teruk disebabkan pandemik COVID-19.
Dalam kunjungan itu, Ismail Sabri dan rakan sejawatannya, Lee Hsien Loong turut melancarkan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) melalui udara dan sempadan darat antara Malaysia dan Singapura di Woodlands. Langkah sama juga dilakukan Ismail Sabri ketika kunjungannya ke Indonesia, Brunei serta Thailand, yang menyaksikan pintu sempadan darat dan udara negara akhirnya dibuka.
Ini adalah permulaan cukup penting, dalam langkah Malaysia menghidupkan kembali ekonomi dan industri pelancongannya yang hampir melumpuh, sungguhpun cabaran mendepani pandemik COVID-19 masih belum reda hingga kini.
Saranan Perdana Menteri kepada komuniti antarabangsa supaya mengukuhkan kerjasama dengan mengamalkan semangat 'keluarga dunia' juga menyerlahkan sikap sebenar diplomasi beliau dalam mengajak dunia mendepani cabaran global yang semakin sukar diurus.
Perang Russia-Ukraine, konflik berterusan di Myanmar serta penaklukan tanpa perikemanusiaan terhadap tanah Palestin oleh rejim Israel meletakkan isu kemanusian dunia kini melalui hari-hari yang kritikal dan kian meruncing. Memaksa, satu pendekatan bersama perlu digembleng semua komuniti antarabangsa bagi mengelak krisis kemanusiaan ini menjarah ke kancah lebih merumitkan.
Atas dasar itulah, semangat ‘keluarga dunia’ dibawa Ismail Sabri mamahat iltizam tinggi untuk memupuk sikap keterbukaan dan toleransi semua pihak untuk duduk bersama membina penyelesaian konkrit terhadap isu yang menggugat.
Mesej beliau kepada komuniti dunia cukup jelas, cabaran global yang berlaku hari ini tidak boleh diatasi secara bersendirian atau 'solo'.
Pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak 2020 adalah contoh terbaik bagaimana komuniti global saling bergantungan khususnya dalam menjamin akses bekalan vaksin dan peralatan perubatan dapat diterima tidak hanya kepada negara kaya dan membangun, bahkan wilayah yang tertindas, miskin dan terdedah dengan konflik.
Jelaslah, komitmen berterusan dan bersungguh-sungguh Ismail Sabri sepanjang tempoh 12 bulan menerajui negara mula membuahkan hasilnya, terutama mesejnya mengajak negara dunia dan serantau mencari penyelesaian bersama terhadap pelbagai isu mendesak berkaitan keselamatan, sekutiri makanan, kesihatan dan ekonomi.
Selain hubungan dua hala yang terbina antara negaranegara ini terus mengukuh, ketegasan suara Malaysia dalam menyuarakan isu-isu global terus didengari dan disambut penuh hormat oleh seluruh rakan diplomatiknya.

* Rahman Hussin memantau dekat hal ehwal pengurusan awam, politik dan pemegang taruh. Beliau menerusi firma sendiri memberi khidmat kepada pelbagai pelanggan dengan perhatian pada hal ehwal strategi dan kerajaan.
** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#ismail sabri yaakob #diplomasi global #Malaysia #kepimpinan negara
;