Ismail Sabri harap sambutan Songkran eratkan hubungan kekeluargaan, silaturahim

Bernama
April 13, 2022 12:33 MYT
Perdana Menteri turut mengajak rakyat untuk sama-sama berdoa agar keadaan kembali pulih seperti sediakala bagi membolehkan perayaan Songkran dan perayaan lain dapat disambut dengan lebih meriah. - Foto Facebook Ismail Sabri
KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Hari Songkran, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap seluruh masyarakat Siam dapat menggunakan perayaan itu bagi mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan silaturahim dengan sahabat handai serta jiran tetangga yang berbilang bangsa.
Menerusi catatan di Facebook beliau, Ismail Sabri berkata itu adalah asas kepada kesejahteraan yang menjadi tunjang kepada konsep Keluarga Malaysia.
Beliau turut mengajak rakyat untuk sama-sama berdoa agar keadaan kembali pulih seperti sediakala bagi membolehkan perayaan Songkran dan perayaan lain dapat disambut dengan lebih meriah memandangkan negara kini masih berdepan dengan ancaman pandemik COVID-19.
"Perayaan Songkran tahun ini disambut dalam suasana masyarakat masih perlu berhati-hati dengan ancaman pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan kehidupan harian dan kegiatan ekonomi seluruh rakyat Malaysia serta penduduk dunia.
"Semoga masyarakat Siam khasnya dan seluruh Keluarga Malaysia amnya terus berada dalam keadaan sihat sejahtera sepanjang masa. Selamat menyambut Perayaan Songkran 2022," demikian menurut catatan itu.
Ismail Sabri berkata pemberian cuti tanpa rekod kepada penjawat awam berketurunan Siam sempena perayaan itu juga merupakan satu keistimewaan kepada mereka yang sama-sama berusaha untuk membangunkan negara.
"Anggaplah keistimewaan ini sebagai pengiktirafan kepada masyarakat Siam yang menjadi sebahagian daripada rakyat pribumi negara ini," kata beliau.
Songkran yang terkenal sebagai festival air adalah sambutan Tahun Baharu Thailand yang disambut selama tiga hari bermula 13 April setiap tahun.
-- BERNAMA
#Hari Songkran #ismail sabri yaakob #masyarakat Siam #Thailand
;