Ismail Sabri contoh pemimpin terbaik kerana utamakan bahasa Melayu
Kenyataan Media
Mac 1, 2022 14:23 MYT
Mac 1, 2022 14:23 MYT
PERDANA MENTERI, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menjadi satu contoh terbaik kepada semua kepimpinan pelbagai peringkat yang mengutamakan bahasa Melayu ketika mengadakan sidang media bersama pemimpin negara Brunei, Kemboja dan terbaharu adalah Thailand.
Tindakan memperkasakan bahasa Melayu ini sekali gus memartabatkan bahasa ibunda kita ke persada yang lebih luas terutamanya rantau ASEAN.
Sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 152, Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu, jadi pemimpin lain tidak perlu berasa malu atau kekok untuk menggunakan bahasa Melayu ini untuk menyampaikan ucaptama dalam sesuatu program bertaraf antarabangsa.
Kami yakin, kita tidak akan terkebelakang sekiranya kita menggunakan bahasa kebangsaan apabila berada di pentas antarabangsa, malahan akan lebih berbangga sebagaimana dengan negara lain yang sentiasa menggunakan bahasa ibunda mereka dalam sesuatu program yang melibatkan dunia luar.
Malaysia harus berperanan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai lingua franca kepada kelompok ASEAN yang terdiri daripada 10 negara iaitu Malaysia, Brunei, Singapura, Indonesia, Vietnam, Laos, Kemboja, Filipina, Myanmar dan Thailand.
Sejarah ‘The Malay Archeopilago’ telah membuktikan bahasa Melayu merupakan bahasa yang dipertuturkan dalam ratusan tahun yang lalu di kepulauan melayu ini dengan menggunakan resam tulisan jawi dalam aktiviti bahasa, budaya, agama, pendidikan, pentadbiran dan aktiviti ekonomi.
Melihat perkembangan yang diteladani Perdana Menteri, pentas antarabangsa adalah platform terbaik untuk kita memaparkan bahasa yang kita gunakan dalam negara kita, kini sudah tiba masanya untuk kita menggunakan bahasa kita di pentas antarabangsa.
Gunakan kesempatan ini untuk memperkenalkan kita di mata dunia.
Dalam masa sama juga, kami menegaskan agar semua peringkat dalam negara sama ada pihak kerajaan atau swasta untuk menyambut hal yang sama dengan menggunakan bahasa kebangsaan dalam sebarang urusan rasmi di dalam negara.
Kenyataan ini dikeluarkan secara bersama oleh:
Datuk Rizalman Datuk Mokhtar, Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak (Pengerusi SWCorp)
Datuk Mohd Yusof Ismail, Ketua UMNO Bahagian Alor Setar (Pengarah Urusan USIMA Sdn Bhd)
Datuk Fathul Bari Mat Jahya, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO (Pengerusi PRIMA)
Datuk Mohd Zaidi Mohd Said, Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh
Datuk Azhar Ahmad, Ketua UMNO Bahagian Beruas (Penasihat Pendidikan Menteri Kemajuan Luar Bandar)
Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali, Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil Presiden Dunia Melayu Dunia Islam
Datuk Zaluzi Sulaiman, Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa
Datuk Ismail Lassim, Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah
Datuk Zurihan Yusop, Ketua UMNO Bahagian Kuala Langat (Mantan guru bahasa Melayu)
Datuk Zakaria Dullah, Ketua Umno Bahagian Simpang Renggam
Jeffrey Nor Mohamed, Ketua Umno Bahagian Putatan