Ismail Sabri berdepan cabaran besar sebagai PM - Annuar

Bernama
Jun 23, 2022 22:13 MYT
Jelas Tan Sri Annuar Musa, walaupun setiap pihak bebas mengeluarkan pandangan peribadi, Nur Jazlan dilihat mempunyai kekurangan (handicap) dalam membuat penilaian itu. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pentadbiran kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berdepan dengan pelbagai situasi mencabar dalam menguruskan negara dan ia tidak pernah dilalui oleh perdana menteri sebelum ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Menurutnya sepanjang pentadbiran Ismail Sabri, Perdana Menteri itu terpaksa mengendalikan pelbagai isu antaranya mengawal pandemik COVID-19, menguruskan impak kenaikan harga minyak dan menyatukan kerjasama kerajaan dan pembangkang melalui Memorandum Persefahaman (MoU).
"Perkara-perkara ini meletakkan PM Datuk Seri Ismail Sabri dari UMNO dalam situasi yang tidak pernah dialami oleh mana-mana PM lain. Jadi tidak wajar penilaian yang merendah-rendahkan PM dari parti sendiri, PM yang diendors oleh UMNO dan mewakili parti UMNO," katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dilaporkan melabel Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri daripada UMNO paling lemah dalam sejarah negara kerana didakwa tidak boleh membuat keputusan atau menegaskan kuasanya.
Annuar berkata walaupun setiap pihak bebas mengeluarkan pandangan peribadi, Nur Jazlan dilihat mempunyai kekurangan (handicap) dalam membuat penilaian itu.
"Dia (Nur Jazlan) bukan seorang yang berada dalam kerajaan jadi banyak benda dia tak tahu... dia bukan seorang yang rapat dengan PM, lagilah banyak dia tak tahu, apatah lagi kalau dia ada niat, lagilah dia terpengaruh dengan kecenderungan politik dia.
"Macam mana ada PM mewakili parti yang hanya ada 38 kerusi dan berhempas pulas dengan COVID-19 serta cabaran ekonomi, sepatutnya kita bantu dan bersimpati tetapi sebaliknya ada yang buat tuduhan tidak berasas," kata Ahli Parlimen Ketereh itu.
Annuar turut mempersoalkan tindakan ahli UMNO yang cuba melemahkan pemimpin daripada parti sendiri sedangkan ada pihak lain yang memberi sokongan kepada kepimpinan perdana menteri.
-- BERNAMA
#Annuar Musa #ismail sabri yaakob #Perdana Menteri #UMNO #pandemik #harga minyak #pembangkang
;