Ismail Sabri adakan pertemuan dengan Jokowi di Istana Bogor hari ini

Bernama
November 10, 2021 11:00 MYT
Ismail Sabri yang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Indonesia dijadual diberikan sambutan rasmi di Istana di Bogor, tengah hari ini. -Gambar fail/Bernama
JAKARTA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Indonesia dijadual diberikan sambutan rasmi di Istana di Bogor, kira-kira 60 kilometer (km) dari Jakarta pada tengah hari ini.
Perdana Menteri dalam kemas kini Twitternya berkata: "Saya akan mengadakan pertemuan dengan (Presiden Indonesia) Bapak (Joko Widodo) Jokowi untuk membincangkan beberapa perkara demi kepentingan rakyat Malaysia-Indonesia."
"Beberapa Memorandum Persefahaman dan Perjanjian di antara kedua-dua negara akan dimeterai atas kepaksian hubungan akrab antara dua negara berjiran.
"Dalam memperkasa industri pertahanan, saya juga akan mengadakan lawatan ke pusat kemudahan industri pertahanan yang terdapat di Bandung," katanya.

Hari ini saya memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Indonesia . Ini merupakan lawatan sulung saya setelah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia. pic.twitter.com/YXotKsPb5P

— Ismail Sabri (@IsmailSabri60) November 9, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Ini merupakan lawatan pertamanya ke Indonesia sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 21 Ogos 2021.
Selepas jamuan negara di istana, Ismail Sabri akan kembali ke hotel penginapannya untuk bertemu dengan pemimpin industri Indonesia, sebelum menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman pada sebelah malam.
Beliau juga dijadual mengadakan dialog dengan diaspora Malaysia semasa majlis makan malam.
Sepanjang lawatan itu, Ismail Sabri diiringi Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Kuasa Usaha Kedutaan Malaysia di Indonesia Adlan Mohd Shaffieq.
-- BERNAMA
#ismail sabri yaakob #Joko Widodo #Jokowi #Istana di Bogor
;