ISMA mahu dunia iktiraf Malaysia hak Melayu
Astro Awani
Februari 27, 2014 15:23 MYT
Februari 27, 2014 15:23 MYT
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mahu masyarakat dunia mengiktiraf negara ini sebagai warisan dan hak orang Melayu kerana orang Melayu telah ada di tanahair ini jauh lebih lama berbanding kaum-kaum yang lain.
Naib Presiden II ISMA Abdul Rahman Mt Dali berkata kajian saintifik mengenai asal usul orang Melayu menunjukkan bahawa genetik Melayu terbukti lebih awal wujud berbanding genetik kaum Cina dan India.
"Genetik Melayu berusia 60,000 – 70,000 tahun berbanding genetik Cina yang hanya berusia sekitar 40,000 – 45,000 tahun. Benua Sunda yang berpusat di bumi Melayu yang kita pijak ini disebut sebagai ‘ the Cradle of Human Civilazation’ yang membiakkan kaum etnik lain.
"Maka sah, bumi ini asalnya adalah bumi orang Melayu," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Menurut Abdul Rahman, sama seperti mana negara China diperakui sebagai hak warisan orang Cina dan India kepada orang India, England bagi orang Inggeris dan sebagainya, adalah wajar negara ini diiktiraf sebagai "warisan dan hak orang Melayu."
Beliau bertanya: "… adakah orang Melayu tidak punya tanahnya sendiri? Sudah tentu inilah benua Melayu dan inilah tanah untuk bangsa Melayu."
Abdul Rahman turut merujuk kepada kajian Universiti Sains Malaysia yang menemukan kesan sejarah tamadun maju Melayu Kedah Tua yang dianggarkan berusia seawal abad kedua lebih awal dari wat Angkor atau candi Borobudur.
"Oleh itu, kita mahu orang Cina, India atau sesiapapun tidak lagi mempersoalkan kedudukan Melayu. Kita juga mahu seluruh dunia mengiktiraf bumi Malaysia ini yang sebelumnya dikenali Malaya dan sebelumnya lagi dipanggil TANAH MELAYU sebagai warisan Melayu dan hak Melayu," katanya.
Abdul Rahman seterusnya menegaskan Islam pendirian tersebut dan menuntut umat Islam agar mempertahankan pendirian itu "sampai Hari Pengadilan."
ISMA adalah badan bukan kerajaan yang lantang bersuara sejak kebelakangan ini mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Islam. Ia mula masuk ke tengah gelanggang sejak mengumumkan penyertaannya dalam pilihan raya umum ke-13 yang lalu bertanding atas tiket Berjasa.
Antara isu yang ISMA ikut melibatkan diri ialah menentang kempen hak asasi manusia yang dijalankan oleh Gabungan Badan Bukan Kerajaan Hak Asasi Manusia (Comango). Untuk itu, ia berdepan tindakan saman daripada aktivis sosial Datin Paduka Marina Mahathir kerana didakwa memfitnah anak bekas Perdana Menteri itu.
ISMA baru-baru ini juga mengumumkan tidak menyertai Dialog Perpaduan: Suara Akar Umbi anjuran Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) dan Institut Kajian Etnik Malaysia (KITA) kerana tidak mengiktiraf penubuhan majlis itu.