ISMA juga tolak jemputan hadiri Dialog Perpaduan:Suara Akar Umbi

Irwan Muhammad Zain
Februari 24, 2014 12:46 MYT
Selain Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) turut menolak jemputan menyertai Dialog Perpaduan: Suara Akar Umbi anjuran Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) dan Institut Kajian Etnik Malaysia (KITA) di Dewan Bahasa dan Pustaka Sabtu lalu.
Timbalan Presiden ISMA, Aminuddin Yahaya berkata pihaknya menolak jemputan tersebut kerana meragui idea MPKN melakukan jelajah Dialog Perpaduan: Suara Akar Umbi.
Aminuddin berkata keraguan itu timbul apabila keanggotaan majlis itu yang tidak mewakili lapisan masyarakat yang menyeluruh termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam.
Katanya, kebimbangan arah tuju dialog itu timbul ekoran kecenderungan kepada pemikiran Islam liberal sebahagian besar anggota MKPN.
“Hakikatnya, berkemungkinan ia akan membawa kepada pencairan pemikiran umat Islam terhadap kemuliaan Islam itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan dilaman web ISMA.
Aminuddin mengesahkan ISMA telah dijemput secara rasmi untuk menghadiri dialog tersebut melalui sepucuk surat yang diterima minggu lepas.
Mengulas lanjut, beliau berkata sebelum sebarang usaha dialog ini diadakan, MPKN seharusnya memikirkan dan menyetujui terlebih dahulu beberapa perkara asas antaranya penyertaan NGO Islam dengan lebih meluas dalam setiap dialog sebagai ahli panel.
Selain itu katanya, MPKN perlu memastikan semua prinsip perlembagaan termasuk keistimewaan orang Melayu tidak digugat di samping menolak sebarang campur tangan pihak luar yang boleh menggugat kestabilan negara.
Dialog Perpaduan: Suara Akar Umbi memulakan siri jelajah mereka Sabtu lepas dan akan diadakan di 18 loksi di seluruh negara.
Ia diadakan bertujuan untuk mendapatkan pandangan akar umbi untuk dijadikan pelan tindakan ke arah perpaduan nasional.
#Dialog perpaduan #ISMA #KITA #MPKN #PERKASA
;