Islamofobia: Bawa Ahli Parlimen anti-Islam ke Malaysia, belajar tentang Islam - Penganalisis
Irfan Faruqi
Julai 25, 2023 22:29 MYT
Julai 25, 2023 22:29 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia wajar menjemput ahli parlimen dari negara-negara yang mempunyai kecenderungan anti-Islam ke Malaysia.
Penolong Profesor Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Ketamadunan (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Ahmad El-Muhammady berkata ini bagi membolehkan mereka melihat versi Islam yang lebih sederhana, sejahtera dan aman.
“Kerajaan Malaysia perlu menjemput Ahli-ahli Parlimen daripada Eropah termasuk dari negara-negara Scandinavia yang kita dapati ada sentimen anti-Islam, bawa mereka ke Malaysia.
“Tunjukkan kepada mereka bahawa kita mempunyai versi Islam yang berbeza. Kita ada versi Islam yang sederhana, kita percaya kepada hidup bersama secara aman, kita percaya kepada pendekatan Madani yang berbeza dengan pendekatan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Ahmad El-Muhammady mencadangkan agar satu program pertukaran dilaksanakan memandangkan ia merupakan suatu langkah yang praktikal.
“Bawa mereka ke Malaysia melalui program pertukaran untuk lihat universiti, pentadbiran dan cara kita mengurus perbezaan pendapat. Sekiranya kita membelanjakan sedikit wang untuk datang ke sini, mereka mungkin akan ada pandangan yang berbeza tentang kita dan agama kita. Itu akan menjadi pelaburan yang baik,” katanya.