Islam tuntut patuhi undang-undang, jauhi kegiatan merempit
Sinar Harian
Julai 18, 2022 06:10 MYT
Julai 18, 2022 06:10 MYT
GEORGE TOWN: Islam menuntut setiap umatnya wajib mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya yang ditetapkan oleh pihak pemerintah.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, Islam juga mewajibkan umatnya memelihara nyawa sebagai salah satu matlamat utama di dalam maqasid syariah.
Menurutnya, umat Islam juga ditegah daripada memudaratkan diri sendiri dan orang lain.
"Jalan raya adalah milik umum, bukan hak mana-mana individu. Oleh itu semua orang hendaklah mengikut undang-undang dan peraturan lalu lintas yang ditetapkan oleh kerajaan yang mana, ia bertujuan untuk memelihara keselamatan dan memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya.
"Saya amat kesal, kecewa dan sedih apabila mendapati kemalangan jalan raya di negara kita sejak kebelakangan ini semakin meningkat dengan begitu ketara. Banyak nyawa manusia terkorban dan cedera sehingga hilang keupayaan secara kekal sepanjang hayat.
"Dilihat daripada perspektif agama Islam, setiap warganegara wajib mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya selain memelihara nyawa sebagai salah satu matlamat utama di dalam maqasid syariah," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Katanya lagi, kegiatan merempit adalah satu perbuatan menyusahkan orang ramai, mengganggu pengguna jalan raya, membahayakan diri sendiri dan orang lain.
"Perbuatan ini dilarang di dalam syariat Islam dan merupakan satu dosa. Memandangkan semakin kerap berlaku kemalangan jalan raya yang disebabkan kegiatan mat rempit, saya rasa sudah sampai masanya pihak berkenaan menyemak semula undang-undang dan peraturan lalu lintas sedia ada.
"Ia termasuk memperketatkan lagi syarat-syarat pengeluaran lesen memandu di jalan raya yang mana, had umur untuk kelayakan memandu juga mungkin perlu diperhalusi," katanya.
Beliau turut berpendapat agar denda bagi kesalahan lalu lintas ditambah supaya pengguna jalan raya lebih berhati-hati ketika memandu.
"Saya juga berharap ibu bapa dan para pemimpin masyarakat saling memainkan peranan dalam menasihati anak-anak muda supaya mengelakkan diri daripada kegiatan tidak berfaedah, sia-sia dan merbahaya seperti merempit," katanya.
Dalam kejadian awal pagi Ahad, empat maut manakala tiga penunggang motosikal parah selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan beberapa buah motosikal dan dua buah kereta di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu.
Polis berkata, kejadian itu dipercayai akibat daripada kegiatan lumba haram.
Menurut kenyataan polis, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati, beberapa penunggang motosikal telah hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain.
Empat yang maut itu adalah Muhammad Eizreel Muhamad Roszaidi, 25 dari Bayan Lepas, Muhammad Shazwan Hakim Mohd Abdul Sani, 22 dari Pendang, Kedah, Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19 dari Bayan Lepas dan Muhammad Harith Zikri Yusnizar, 17 dari Georgetown.
Sementara yang parah adalah Mohd Haziq Harris, 34 dari Bayan Lepas yang mengalami kecederaan di kepala dan dirawat di zon merah, dan dua lagi iaitu Muhammad Rahimi Shukor, 19 dari Ayer Itam yang mengalami kecederaan di muka dan kepala serta Muhammad Shazwan Hafiz Mohd Abdul Sani, 22 yang berasal dari Pendang, Kedah yang mengalami kecederaan di tangan, kaki serta muka sedang dirawat di zon kuning. - Sinar Harian