Islam tidak mengajar hina agama lain - Mohd Na'im

Adie Sufian Zulkefli
Mac 16, 2025 11:30 MYT
Mohd Na'im ketika menziarah mudir Pondok Mustaq Sungai Jagong, Abdul Rahim Abdul Rahman. - Astro AWANI
PENDANG: Sebarang bentuk penghinaan terhadap agama Islam tidak boleh dibiarkan seiring dengan ajaran Islam yang turut melarang perbuatan menghina agama lain.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar, berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), dalam memastikan kes penghinaan Islam dibawa ke muka pengadilan.
"Masyarakat Islam diingatkan untuk merenungi ayat Al-Quran yang menegaskan larangan menghina agama lain kerana ia boleh mencetuskan tindak balas negatif terhadap Islam.
"JAKIM bersama MCMC dan PDRM akan bekerjasama dalam memastikan tindakan tegas diambil terhadap sebarang penghinaan terhadap agama Islam.
"Tindakan perlu diambil tanpa mengira agama yang dihina. Mana-mana pihak yang mencetuskan ketegangan atau ketidaktenteraman dalam negara akibat penghinaan agama akan dikenakan tindakan tegas," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menziarah mudir Pondok Mustaq Sungai Jagong, Abdul Rahim Abdul Rahman di Kampung Sungai Jagong, di sini, semalam.
Mohd Na'im berkata dalam usaha membina perpaduan, masyarakat Islam dan bukan Islam diajak untuk bersama-sama mengekalkan keharmonian.
Beliau mengingatkan bahawa sebarang kekecohan akibat penghinaan agama hanya akan memberi kesan buruk kepada negara, terutama jika ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.
"Selain itu, para ulama, guru pondok, dan asatizah diseru untuk memainkan peranan dalam mendidik masyarakat agar tidak terlibat dalam sebarang bentuk penghinaan terhadap mana-mana agama. Kita mainkan peranan ini sebab masyarakat meletakkan amanah ataupun harapan yang begitu tinggi kepada golongan ilmuwan khususnya di kalangan guru guru pondok.
"Guru guru pondok dapat memainkan peranan untuk mengajak masyarakat untuk jangan sesekali terlibat dalam sebarang usaha untuk menghina mana mana agama. Insha Allah kita boleh bina keamanan dalam dalam negara kita ini," katanya.
#Islam #hina #agama #Mohd Na'im Mokhtar
;