Islam larang baca qunut nazilah kepada sesama Muslim - Mufti
Sinar Harian
Julai 21, 2024 09:50 MYT
Julai 21, 2024 09:50 MYT
SHAH ALAM: Islam melarang bacaan doa qunut nazilah ditujukan kepada saudara sesama Islam kerana dikenali sebagai doa penghancur musuh.
Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata, perbuatan tersebut mesti ditegah ekoran doa itu adalah amalan Nabi Muhammad SAW khususnya ketika peperangan Ahzab.
“Islam melarang doa qunut nazilah dibacakan kepada saudara sesama Islam, tidak kira mereka berbeza fahaman politik atau pandangan terhadap sesuatu perkara.
“Bukan itu sahaja, Imam Al-Ghazali turut mencela mana-mana doa kehancuran ditujukan kepada sesama Muslim,” katanya kepada Sinar Ahad.
Pada Jumaat, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan bacaan qunut nazilah untuk mendoakan kehancuran seteru politik sebagai amalan ekstremis dan pelampau.
Tegas beliau, tindakan Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail yang membacakan doa tersebut di Dewan Rakyat selepas penggantungan enam bulan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal harus ditolak oleh rakyat yang cintakan keamanan.
Bagaimanapun, Wan Ahmad Fayshal menafikannya dengan sebaliknya berkata, bacaan ditujukan kepada penyokong genocide seperti BlackRock.
Mengulas mengenai bacaan qunut nazilah di Dewan Rakyat, Mohamad Sabri berkata, ia berbalik kepada niat ahli politik pembangkang.
“Saya tidak tahu niat sebenar mereka membaca qunut nazilah. Jika bacaan itu untuk kehancuran peperangan (serangan Israel terhadap Palestin) adalah dibolehkan.
“Jika ditujukan kepada mereka (beragama Islam) yang berbeza fahaman politik, ia tidak dibenarkan. Doa ini lebih kepada kehancuran. Doa kehancuran tidak sepatutnya sesama Muslim,” tegasnya.
Sementara itu, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan doa yang dipanjatkan kepada ALLAH SWT bukan untuk menunjuk-nunjuk kepada pihak lain apatah lagi untuk berpolitik dalam berdoa.
Beliau berkata, tiada siapa yang dapat memakbulkan doa melainkan ALLAH SWT.
“Doa merupakan permohonan hamba kepada Pencipta yang memiliki segalanya.
“Ia merupakan luahan hajat dan keinginan hamba yang memohon agar Tuhan memustajabkannya,” katanya dalam status yang dimuat naik di Facebook milik beliau pada Sabtu.
Menurutnya, doa dipohon dalam keadaan pasrah dan rendah diri seorang hamba.
“Apa yang tersimpan dalam dada seorang hamba ketika berdoa hanyalah harapan yang sepenuhnya kepada ALLAH Maha Agung semata-mata, tidak kepada sesiapa,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan berkata, daripada nas dan pernyataan ulama, qunut nazilah dibacakan ke atas golongan kafir dan murtad yang diperangi oleh orang Islam serta pada musibah besar menimpa mereka.
Kata kenyataan itu, ia dibaca dalam konteks peperangan jihad yang dituntut dan dibenarkan oleh syarak seperti situasi dihadapi oleh Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar al-Siddiq dan Saidina Umar al-Khattab.
Jelasnya, tidak terdapat riwayat hadis atau pandangan ulama yang mengharuskan bacaan doa qunut nazilah ke atas golongan Islam sendiri.
“Perbuatan membaca doa qunut nazilah ke atas orang Islam, tidak kira ia menjadi musuh atau lawan sesama umat Islam, adalah tidak dibolehkan dalam apa sahaja keadaan.
“Apatah lagi jika hanya melibatkan perselisihan faham dan pandangan dalam politik dan seumpamanya. Hal ini seharusnya dielakkan kerana ia akan menjerumuskan seseorang kepada perbuatan ekstrem dan melampau dalam agama,” kata kenyataan itu. - Sinar Harian