Isi rumah berpendapatan rendah terkesan sejak PKP 2.0 - Kajian UNICEF, UNFPA

Astro Awani
Februari 13, 2021 20:23 MYT
Laporan berkenaan juga mengesyorkan supaya memperhebatkan sistem perlindungan sosial arus perdana sebagai sebahagian daripada strategi keluar bagi dasar khusus tindak balas COVID-19.
KUALA LUMPUR: Krisis COVID-19 terus memberi kesan kepada keluarga berpendapatan rendah walaupun kerajaan mengumumkan beberapa langkah mengurangkan tekanan akibat pandemik itu.
Kajian Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) pada Disember 2020, semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mendedahkan, separuh daripada isi rumah yang dikaji mengalami kemerosotan sosioekonomi.
Wakil UNICEF di Malaysia, Dr Rashed Mustafa Sarwar menjelaskan, data terbaharu laporan bertajuk ‘Keluarga di Pinggiran’ menunjukkan walaupun beberapa keluarga diakui pulih, namun masih ada berdepan kemerosotan dan hampir mencapai kemuncak pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP2.0).
"Kita perlu memikirkan semula isu perlindungan sosial untuk golongan yang paling rentan termasuk melalui pengembangan liputan sokongan pendapatan kepada keluarga berpendapatan rendah, penyediaan bantuan sara hidup yang disasarkan terutama mereka yang bekerja sendiri.
"Kami juga memberikan sokongan kepada kerajaan dan berharap dapat bekerjasama memperkukuhkan dasar serta program keluarga yang memerlukan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Tinjauan terbaharu juga mendapati kadar pengangguran dalam kalangan ketua isi rumah meningkat dua kali ganda kepada 15 peratus berbanding tiga bulan sebelumnya dan satu dari tiga orang dewasa dalam isi rumah yang mengambil bahagian masih menganggur.
Tahap pendapatan dalam kalangan isi rumah yang diketua wanita dan orang kurang upaya (OKU) kini masing-masing 24 peratus dan 36 peratus lebih rendah berbanding akhir tahun 2019.
Pengurangan pendapatan yang dialami sebilangan besar peserta kajian mengakibatkan kemiskinan berterusan dalam kumpulan berkenaan.
Kadar kemiskinan di antara sampel kajian kekal pada 42 peratus pada bulan Disember, dengan kadar yang lebih tinggi dalam kalangan isi rumah yang diketuai OKU (55 peratus) dan isi rumah yang diketuai wanita (61 peratus).
Ramai juga isi rumah yang pendapatannya agak tinggi, namun akibat masih di garis kemiskinan mengakibatkan mereka mengalami kesukaran untuk memenuhi keperluan asas.
Dalam pada itu, wakil UNFPA di Malaysia Najib Assifi berkata, dinamik sosial keluarga berkenaan akan berubah apabila mereka melakukan yang terbaik untuk mengatasi keadaan ekonomi yang semakin buruk.
"Dengan peningkatan situasi yang memburukkan lagi masalah kesihatan mental, ia mula membentuk kehidupan tidak sihat dalam persekitaran, secara psikologi dan kadang-kadang secara fizikal.
"Tiada yang lebih terjejas daripada kanak-kanak, mereka yang menghidap penyakit kronik, orang kurang upaya dan tentunya individu yang menjaga mereka," jelasnya.
Bahagian tiga laporan ‘Keluarga di Pinggiran’ disasarkan kepada pengumpulan data pusingan ketiga yang dilakukan pada Disember 2020 semasa PKPB, iaitu sebelum PKP 2.0 pada 13 Januari 2021.
Kajian yang dilakukan oleh firma penyelidikan DM Analytics ini merangkumi status sosioekonomi dan kesejahteraan sekumpulan 500 keluarga dengan anak-anak di flat kos rendah Kuala Lumpur.
Kaedah kajian mengambil masa enam bulan, melibatkan kajian sosioekonomi, wawancara kesejahteraan dan juga komponen fotografi yang mewakili komponen kanak-kanak.
Menurut Dr Muhammed Abdul Khalid, ketua penyelidik bagi pihak UNICEF dan UNFPA, kajian itu bertujuan menghasilkan pandangan mengenai kesan krisis yang disebabkan COVID-19 kepada keluarga berpendapatan rendah selain perbincangan awam dan dasar yang selari dengan misi negara, iaitu mengurangkan kesan krisis usaha pembangunan yang lebih baik.
Mengulas isu sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan akan mencari kaedah yang lebih realistik bagi pelan jangka panjang untuk membantu mereka yang terjejas akibat COVID-19, selain mengelakkan negara mengalami kekurangan pendapatan.
Jelasnya, ia perlu bagi membantu rakyat yang terjejas pendapatan, terutamanya mereka yang berada dalam sektor tidak formal, seperti peniaga kecil-kecilan, peniaga pasar malam dan sebagainya.
"Kalau kita ambil golongan pertama, mereka yang bergantung kepada bantuan kerajaan atau zakat. Mereka ini adalah kumpulan yang mungkin ada penyakit umpamanya. Setengah-setengah itu bukan sahaja berpenyakit suami isteri tetapi cucu lagi dan ini merupakan kumpulan yang wajib dibantu oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
"Alhamdulillah dalam laporan mereka dibantu, walaupun tidak cukup 100 peratus cuma dari segi makanan tidak ada masalah. Kita dapat laporan dari segi tunailah, wang itu ada sedikit kurang. Itu kumpulan pertama yang memang sudah menerima bantuan kerajaan.
"Yang kedua adalah mereka yang terjejas, maknanya terjejas pada masa pandemik ini peluang pekerjaan dan ramai yang tinggal di bandar raya dan mereka bekerja dalam sektor tidak formal seperti berniaga secara kecil-kecilan," katanya.
Dalam pada itu, satu siri dokumentari yang menyoroti pengalaman keluarga tersebut, bertajuk #KeluargaDiPinggiran telah pun disiarkan di saluran 501 Astro AWANI pada jam 8.30 malam bermula 8 hingga 11 Februari manakala tayangan akhir pula disiarkan pada 12 Februari 2021.
Dokumentari itu boleh ditonton di laman rasmi astroawani.com atau aplikasi Astro AWANI.
Impak COVID-19: Ekonomi Ibu Tunggal | #KeluargaDiPinggiran Ep1
Impak COVID-19: Kesihatan Mental Warga Emas | #KeluargaDiPinggiran Ep2
Impak COVID-19: Ekonomi Golongan Rentan | #KeluargaDiPinggiran Ep3
Keluarga di Pinggiran: Impak Covid-19 | Kanak-kanak B40
*Artikel ini adalah kandungan berbayar.
#COVID-19 #PKP #OKU #ekonomi #wanita #the edge #peniaga #Keluarga di Pinggiran #Kanak-kanak #B40
;