Isi minyak percuma, 200 penunggang motosikal terima manfaat
Kenyataan Media
Mac 1, 2024 11:35 MYT
Mac 1, 2024 11:35 MYT
BANGI: Naib Canselor Universiti Islam Selangor, merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KUIS, Datuk Prof Madya Dr Mohd Farid Ravi Abdullah menyempurnakan program Isi minyak percuma untuk 200 buah motosikal di stesen Petronas Bandar Seri Putra, Bangi, pagi semalam.
Program anjuran Yayasan KUIS ini sebagai usaha memanfaatkan semula sumbangan komuniti yang menyokong Yayasan KUIS melalui pembayaran zakat dan sumbangan wakaf dan infak.
Selain bertujuan memberi sumbangan kepada pelajar dan orang ramai yang memerlukan, program ini turut meneladani orang ramai pentingnya sokongan kepada kelompok yang terjejas dengan kadar kos sara hidup yang kian meningkat.
Pendekatan 'give back to community' ini adalah sebagai usaha menzahirkan pentingnya sokongan komuniti terhadap usaha-usaha kesedaran dan memperkasakan jiwa sebagai pembayar zakat serta penyumbang wakaf dan infak secara sistematik.
"Yayasan KUIS sangat berbesar hati dengan sokongan komuniti termasuk individu, pertubuhan dalam komuniti, organisasi perniagaan, institusi kewangan dan perbankan yang berterusan mempercayai Yayasan KUIS sebagai sebuah yayasan yang menguruskan kebajikan pelajar melalui zakat, wakaf dan infak," kata Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan KUIS, Ahmad Fatin Mohamad Suhaimi.
Sejak ditubuhkan pada 2011, Yayasan KUIS telah mengagihkan sumbangan hampir RM9.2 juta melalui zakat, wakaf dan infak yang diterima dari pelbagai pihak.
Agihan yang diberikan adalah dalam bentuk bantuan yuran pengajian, sagu hati sara hidup, bantuan makanan, bantuan persekolahan, bantuan bencana alam dan pelbagai lagi.
Yayasan KUIS merupakan sebuah yayasan yang berdaftar di bawah SSM dan ditubuhkan oleh UIS bagi membantu memastikan kebajikan pelajar terjamin.
Aktiviti pendanaan yang diuruskan oleh Yayasan KUIS adalah meliputi zakat, wakaf dan infak.
Turut serta dalam program ini adalah pemilik stesen Petronas Bandar Seri Putra, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UIS, Dr Abdul Razif Zaini.