ISHRAF mula nampakkan hasil, bantu asnaf, B40 tambah pendapatan
Astro Awani
Februari 10, 2021 19:32 MYT
Februari 10, 2021 19:32 MYT
KUALA LUMPUR: Program ISHRAF dibentuk SME Bank pada Ogos lepas yang bertujuan membantu golongan asnaf dan B40 memperkembangkan perniagaan mikro mereka dengan lebih berkesan, telah mula menunjukkan kejayaan.
Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail berkata, setakat ini seramai 20 peserta yang terlibat telah mencatatkan jumlah jualan terkumpul lebih RM258,000.
“Dengan penularan COVID-19 serta kesan daripada bencana alam yang dihadapi oleh mereka yang terlibat, Program ISHRAF ini dilihat sebagai satu talian hayat untuk membantu kelangsungan perniagaan golongan asnaf dan B40 ini.
“Usaha ini juga adalah selaras dengan mandat yang dipegang oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dan SME Bank untuk membangun dan mengembangkan perniagaan usahawan PKS negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, SME Bank memperuntukkan sebanyak RM250,000 untuk program tersebut dengan sokongan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn Bhd (CEDAR).
“CEDAR ialah anak syarikat SME Bank selaku pembimbing latihan keusahawanan ini. Dengan sokongan daripada pihak LZS, SME Bank telah memilih 20 orang usahawan asnaf dan B40 untuk mengikuti Program ISHRAF.
“Sesi latihan keusahawanan dalam kelas telah dijalankan pada bulan September 2020 dan mereka juga diberikan sesi bimbingan perniagaan dan seterusnya pemantauan oleh CEDAR selama setahun.
“Ia bagi memastikan matlamat perniagaan yang ditetapkan di awal program dapat dicapai. Wang modal berjumlah antara RM8,000 hingga RM12,000 telah diagihkan kepada setiap peserta mengikut keperluan perniagaan masing-masing,” ujarnya.
Bergerak ke hadapan, Aria berkata bank tersebut merancang untuk bekerjasama dengan beberapa lagi agensi seperti pusat zakat negeri-negeri lain serta agensi kerajaan yang berkaitan.
#ekonomi
#ISHRAF
#B40
#asnaf
#miskin
#berniaga
#perniagaan
#peniaga
#PKS
#bank
#kerajaan
#presiden
#usahawan
#COVID-19
#Medac