ISES 2024 terajui aspirasi peralihan tenaga negara melalui inovasi
Astro Awani
Ogos 20, 2024 18:15 MYT
Ogos 20, 2024 18:15 MYT
KUALA LUMPUR: Persidangan Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) keenam 2024 yang berlangsung pada 20 hingga 21 Ogos merupakan detik penting dalam perjalanan Malaysia menuju masa depan tenaga yang mampan.
Dianjurkan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta diuruskan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd, persidangan ini mengumpulkan lebih 5,000 peserta dari dalam dan luar negara bagi merangka hala tuju peralihan tenaga negara.
Menurut Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, persidangan bertemakan “Mempercepatkan Peralihan Tenaga Melalui Inovasi” mencerminkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2050.
“Menjelang 2035, 40 peratus daripada bekalan tenaga mestilah boleh diperbaharui, menjelang 2050 pula 70 peratus, dan kadar pada masa sekarang hanya 26%.
“Oleh itu, pendekatan kita ialah dengan melancarkan pelbagai program termasuk dalam konteks LSS iaitu solar yang pada pandangan kita pada masa ini paling cepat dan mampu milik,” katanya selepas merasmikan ISES 2024 edisi ke enam di ibu negara pada Selasa.
Tambahnya, kerajaan turut membuka tawaran kuota tarif galakan (FIT) baharu dengan jumlah 190MW untuk pembangunan sumber biogas, biojisim dan jana kuasa hidro kecil.
“Kita buka juga secara tender terbuka dan diharapkan nanti kita akan lebih banyak pilihan tenaga bukan sahaja solar, bukan sahaja gas semula jadi yang kita bergantung ketika ini atau pun arang.
“Penggunaan arang batu kita akan dihentikan secara berperingkat mulai tahun 2030 dan kita sudah menetapkan sasaran ini, selain loji janakuasa arang batu juga terakhir akan ditutup pada tahun 2045,” tambahnya.
Malaysia juga sedang meneroka perdagangan tenaga boleh baharu rentas sempadan bagi memupuk kerjasama serantau dan membangunkan grid kuasa serantau yang kukuh.
Menyedari kepentingan pembangunan modal insan dalam peralihan tenaga, kerajaan turut meningkatkan proses akreditasi bagi bidang berkaitan tenaga boleh baharu di bawah program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan program latihan sejajar dengan keperluan industri.
ISES 2024 yang berlangsung selama dua hari menampilkan 15 rakan kongsi strategik, 70 pempamer dan 70 penceramah dalam empat sesi pleno dan lapan bengkel perbincangan mendalam.