Isa Samad selesai bayar wang jaminan tambahan RM700,000, fail notis rayuan
Bernama
Februari 4, 2021 15:52 MYT
Februari 4, 2021 15:52 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang disabitkan atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta semalam berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, selesai membayar wang jaminan tambahan RM700,000 yang diperintahkan Mahkamah Tinggi di sini.
Mohd Isa, 71, yang hadir memakai baju kemeja belang biru tiba di mahkamah pada jam 10.36 pagi hari ini bersama isterinya, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid yang merupakan penjamin.
Mohd Isa yang membuat bayaran jaminan di kaunter Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi dilihat beredar dari mahkamah pada jam 1.52 tengah hari.
Semasa fotonya dirakam jurukamera di lobi mahkamah, Mohd Isa sempat berseloroh dengan menyergah jurukamera sebelum menuju ke arah keretanya sambil berkata “jarak, jarak, jarak, patuh prosedur operasi standard (SOP) kalau tidak bayar denda RM1,000”, membuatkan petugas media yang membuat liputan ketawa.
Sementara itu, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu juga telah memfailkan notis rayuan terhadap sabitan salah serta hukuman penjara dan denda yang dikenakan terhadapnya.
Perkara itu disahkan oleh peguam yang mewakili Mohd Isa, Siti Sarah Khalil ketika ditemui di lobi mahkamah di sini dan notis rayuan itu difailkan di Mahkamah Tinggi jam 11 pagi tadi.
Mohd Isa diperintahkan membayar ikat jamin tambahan RM700,000 selepas mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan kesemua hukuman sementara menunggu rayuan.
Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu setelah mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap kesemua pertuduhan ke atas Mohd Isa.
Sebagai syarat tambahan, mahkamah turut memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 haribulan sehingga rayuan selesai.
Mohd Isa dijatuhi hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dihadapinya menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.
Bagaimanapun, Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara 6 tahun sahaja setelah Mohd Nazlan memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak. - BERNAMA
#Isa Samad
#Tan Sri isa Samad
#6 tahun penjara
#denda
#ikat jamin tambahan
#Rasuah
#Merdeka Palace Hotel & Suites
#bekas pengerusi Felda