Isa Samad: Lebih ramai bertanding Naib Presiden lebih baik
Bernama
September 5, 2013 07:24 MYT
September 5, 2013 07:24 MYT
Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menganggap lebih ramai calon berani menawarkan diri bertanding jawatan naib presiden Umno adalah lebih baik untuk parti.
Katanya, penawaran ini diizinkan oleh parti untuk memberi (lebih banyak) pilihan kepada ahli.
"Saya pula menawarkan diri kerana yakin ada sedikit kebolehan dan pengalaman akan dapat membantu kerajaan dan Barisan Nasional (BN) menghadapi pilihan raya umum ke-14.
"Lebih ramai orang muda menawarkan diri bertanding adalah lebih baik. Kita mahu ada kesinambungan gabungan pemimpin veteran dan muda," katanya kepada pemberita bila diminta mengulas mengenai hasratnya bertanding jawatan itu pada pemilihan Umno bulan depan.
Mohd Isa yang juga anggota Parlimen Jempol ditemui semasa menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Felda Wilayah Alor Setar di sini, pada Khamis.
Katanya, pertandingan merebut jawatan naib presiden bukan perkara luar biasa kerana jarang berlaku dalam sejarah jawatan itu dimenangi tanpa bertanding.
"Jawatan presiden dan timbalan presiden sahaja ahli-ahli dinasihatkan tidak bertanding kerana berdasarkan pengalaman lepas ia memberi kesan jangka panjang terhadap parti," tambahnya.
Dalam ucapannya sebelum itu, Mohd Isa berkata kenaikan harga petrol Ron95 sebanyak 20 sen seliter adalah untuk menyelamatkan ekonomi negara dalam jangka masa panjang.