Isa Samad bela diri sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta di Mahkamah Tinggi esok
Bernama
Ogos 16, 2020 19:55 MYT
Ogos 16, 2020 19:55 MYT
Esok, bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad akan membela diri di Mahkamah Tinggi di sini, terhadap sembilan pertuduhan rasuah berjumlah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB), enam tahun lepas.
Peguamnya Datuk Salehuddin Saidin semasa dihubungi berkata Mohd Isa akan menjadi saksi pembelaan pertama memberi keterangan esok.
Kes berkenaan telah ditetapkan bermula pada 9 pagi di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali. Sebelum ini, hakim telah menetapkan tiga hari untuk mendengar kes pembelaan berkenaan bermula 17 Ogos.
Mohd Isa, 71, memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari tempat duduk saksi dan beliau akan disoal terlebih dahulu oleh peguamnya semasa pemeriksaan utama dan kemudian pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.
Pada 16 Jun, Mohd Nazlan memerintahkan Mohd Isa membela diri terhadap sembilan pertuduhan rasuah setelah pendakwaan berjaya membuktikan setiap unsur penting kesalahan menerima rasuah di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Hakim memutuskan bahawa sembilan pengeluaran tunai oleh seorang saksi pendakwaan, pemegang saham dan pengarah JV Evolution Sdn Bhd, Azizi Abdul Wahab, mencukupi sebagai keterangan boleh dipercayai bagi membuktikan inti pati pertuduhan bagi kesalahan menerima rasuah yang dihadapi Mohd Isa.
JV Evolution Sdn Bhd adalah ejen yang dilantik oleh Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) dan bekas pengarahnya ialah Ikhwan Zaidel, 60, untuk menguruskan penjualan Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) oleh GAPSB, pemilik hotel berkenaan ketika itu.
“Ikhwan kemudian telah menyerahkan wang tunai itu kepada pegawai khas Mohd Isa iaitu Muhammad Zahid Md Arip, yang akhirnya memberikan wang tersebut kepada tertuduh sebagaimana yang dinyatakan dalam kesemua sembilan pertuduhan,” kata hakim itu dalam penghakimannya.
Mahkamah bagaimanapun membebaskan Mohd Isa daripada satu pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) yang dihadapinya membabitkan pembelian hotel sama selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi pertuduhan itu.
Pihak pendakwaan menutup kesnya pada 14 Jan lepas setelah perbicaraan berlangsung 15 hari dengan 22 saksi dipanggil memberi keterangan.
Mohd Isa menghadapi sembilan pertuduhan rasuah iaitu menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel, iaitu ahli lembaga Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd, menerusi individu bernama Muhammad Zahid Md Arip, sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB bagi RM160 juta.
Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai, 2014 dan 11 Dis, 2015.
Setiap pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA