Isa sahkan bertanding Naib Presiden Umno

Astro Awani
Ogos 20, 2013 06:14 MYT
Saingan untuk jawatan Naib Presiden UMNO kini semakin sengit apabila Ahli Parlimen Jempol, Tan Sri Mohd Isa Samad mengumumkan akan bertanding jawatan tersebut pada pemilihan parti Oktober ini.
Mohd Isa berkata, beliau berharap akan mendapat sokongan daripada anggota UMNO dalam meneruskan sumbangan untuk memantapkan parti terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
"Apa yang saya miliki terutamanya dari segi pengalaman dan kebolehan dapat membantu mengurus parti untuk menghadapi PRU-14.
"Sebagai orang lama, memang saya ada sedikit sebanyak pengalaman. Kalau boleh saya bantu pucuk pimpinan parti apabila berada di mainstream ini amat penting kerana semua berhasrat mengukuhkan parti," katanya selepas melancarkan krim mandian Purich, keluaran Delima Oil Products Sdn Bhd iaitu anak syarikat Felda Global Ventures Holdings Berhad (FVGH) di Dewan Merak Kayangan, Balai Felda di sini, hari ini.
Mohd Isa berkata beliau tidak meletakkan sebarang sasaran untuk memenangi jawatan itu, sebaliknya menyerahkan kepada kira-kira 150, 000 perwakilan daripada 191 bahagian di seluruh negara untuk membuat pertimbangan.
"Saya serah kepada perwakilan untuk buat pertimbangan sama ada saya sesuai atau tidak. Kalau difikirkan saya sesuai, mereka pilih saya. Kalau tak sesuai, saya tiada masalah dengan itu, " katanya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang menegaskan setiap calon yang bertanding untuk jawatan Naib Presiden mempunyai kekuatan sendiri.
Mohd Isa juga menegaskan politik sudah menjadi sebahagian dari hidupnya dan usia bukan satu halangan untuk menawarkan diri bertanding dalam pemilihan nanti.
"Ia bukan satu masalah besar. Saya rasa saya mempunyai pengalaman secukupnya malah berwarna-warni," katanya.
Ditanya sama ada beliau akan memberikan laluan kepada calon generasi muda sebagai salah satu usaha untuk meremajakan parti, Mohd Isa berkata penglibatan golangan itu amat penting tetapi orang lama juga masih diperlukan di dalam parti.
"Kita tidak boleh membiarkan parti kepada generasi muda sahaja. Tidak boleh, mesti ada kombinasi daripada kedua-duanya. Ini yang diamalkan dalam Umno lebih 50 tahun lalu.
"Jika anda lihat sejarah, semua generasi muda dan orang lama bekerjasama dan berkhidmat kepada parti," katanya.
Mohd Isa pernah memenangi jawatan itu bagi penggal 2004-2007 dengan memperoleh 1, 507 undi iaitu mengatasi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (1, 329 undi) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin (1, 234 undi).
Namun Lembaga Disiplin UMNO melucutkan jawatan beliau kerana didapati terlibat politik wang.
Sebelum itu pada pemilihan tahun 2000 beliau bertanding jawatan Naib Presiden tetapi tewas.
Karier politik Mohd Isa ' hidup semula' apabila dipilih bertanding dalam pilihanraya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang di Negeri sembilan pada tahun 2009.
Pada PRU13 beliau bertanding kerusi Parlimen Jempol dan memenangi kerusi tersebut mengalahkan calon PAS, Wan Aishah Wan Ariffin dengan majoriti 8,614 undi.
Kemasukan Isa dijangka akan menghangatkan lagi persaingan jawatan yang kini disandang oleh Datuk Seri Zahid Hamidi,Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal.
Penyandangnya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan akan mempertahankan jawatan tersebut.
Selain itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Mohd Ali Rustam turut dikatakan berhasrat untuk merebut jawatan itu.
#Isa Samad #Oktober #UMNO