ISA bukan jaminan bendung gerakan militan - Rahim Noor

Irwan Muhammad Zain
Mei 4, 2014 07:07 MYT
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor
Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak dapat membendung hingga ke akar umbi kegiatan gerakan militan di negara ini, kata bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Rahim Noor.
"Pendapat saya adanya ISA atau tidak gerakan seperti ini (militan) akan tetap ada, " katanya ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat kedua Barisan Perpaduan Nasional pada Ahad.
Beliau juga berpendapat Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012‎, atau Sosma, tidak mempunyai kekuatan seperti mana ISA untuk membendung gerakan militan di negara ini.
Abdul Rahim berkata, Sosma hanya membenarkan pihak berkuasa menahan individu yang disyaki terlibat dengan aktiviti yang melanggar keselamatan negara.
Katanya, berbeza dengan Sosma, ISA membenarkan pihak berwajib memantau pergerakan secara keseluruhan bukan hanya pada individu tertentu.
"ISA tidak hanya menahan individu tertentu tetapi ia mengatasi seluruh pergerakan, maknanya keseluruhan dan siapa sahaja yang terlibat kita akan memerhati perkembangan dan menahan," katanya.
Sosma diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 17 April, 2012, dan diwartakan pada 22 Jun 2012.
Beliau berpendapat kerajaan perlu mempertimbangkan satu akta menyamai ISA jika tidak berhasrat untuk mengembalikannya.
"Saya ada berbincang mengenai itu, juga bersama beberapa ahli‎ Barisan Perpaduan Nasional dan majoritinya bersetuju ISA dikembalikan," katanya.
Minggu lalu, sembilan anggota kumpulan militan berusia antara 22 hingga 55 tahun ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di Kedah dan Selangor.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata mereka yang ditahan dipercayai terlibat dalam kegiatan militan membantu pemberontak di Syria.
#Abdul Rahim Noor #ISA #militan #SOSMA
;