Irmohizam dilantik Pengerusi Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik

Astro Awani
Julai 2, 2020 16:04 MYT
Irmohizam dilantik sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik (Persidangan & Pameran) yang baharu. - Gambar fail
Persatuan Pusat Dagangan Dunia (WTCA), sebuah persatuan perdagangan antarabangsa terkemuka yang dianggotai oleh 322 pusat dagangan seluruh dunia, hari ini menamakan Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik (Persidangan & Pameran) yang baharu.
Beliau merupakan rakyat Malaysia pertama dipilih memegang jawatan berkenaan.
Pengarah Jabatan Komunikasi Pemasaran World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Intan Tantiyana Puteri Jaafar berkata, Dr Irmohizam akan memainkan peranan mempengerusikan dan menetapkan agenda mesyuarat untuk semua pusat dagangan dunia seluruh Asia Pasifik.
Dr Irmohizam juga akan menentukan hala tuju dan memimpin perbincangan dan projek yang relevan dengan Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik selain menggalakkan penyertaan pusat dagangan dunia lain ke dalam persatuan.
"Terkini, Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik sedang bekerjasama dengan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pusat Dagangan Dunia (WTCA) Scott Ferguson dalam program “Access Asia” untuk mempromosikan pusat dagangan dunia (WTC) dan perniagaan di seluruh rantau Asia Pasifik," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Jawatan Pengerusi Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik adalah selama satu tahun dengan kemungkinan pelantikan semula untuk menjalani penggal tambahan seterusnya.
Selain menjalankan inisiatif yang ditetapkan oleh Persatuan Pusat Dagangan Dunia (WTCA), Pengerusi Majlis Penasihat Anggota Asia Pasifik juga akan bekerjasama dengan anggota majlis lain yang wujud di dunia termasuk APAC, EU, ASEAN untuk menentukan projek tambahan yang bersesuaian.
Kini, terdapat 93 pusat dagangan dunia di Asia Pasifik berdaftar di bawah Persatuan Pusat Dagangan Dunia (WTCA) antaranya ialah Pusat Dagangan Dunia Sydney, Pusat Dagangan Dunia Beijing, Pusat Dagangan Dunia Taipei, Pusat Dagangan Dunia Metro Manila dan Pusat Dagangan Dunia Tokyo.
Dalam pada itu, Dr Irmohizam berbesar hati dengan pelantikan itu dan berharap dapat menyumbang kepada idea-idea baharu dalam meningkatkan daya maju industri seterusnya memacu perkembangan ekonomi negara pasca COVID-19 melalui kemasukan semula persidangan dan pameran antarabangsa ke Malaysia.
“Saya mengharapkan kerjasama padu dari seluruh anggota persatuan supaya dapat meneruskan keterbukaan serta bersikap inklusif dengan semua ahli untuk menyumbang ke arah tatakelola persatuan yang lebih baik dan ingin menjadikan Malaysia sebagai hub lokasi persidangan dan pameran dunia.” kata beliau.
#agenda #ASEAN #Asia #Beijing #ekonomi #EU #koronavirus #Kuala Lumpur #Malaysia #Manila #Puteri #rakyat #rakyat Malaysia #Sydney #Tokyo
;