IRCIEF-UIS terima Anugerah Global Islamic Finance Award (GIFA) di Senegal

Kenyataan Media
September 16, 2023 15:09 MYT
Dr. Latifa Bibi Musafar Hameed, Pengarah IRCIEF-UIS semasa menerima Anugerah dari Prof. Dr. Humayon Dar, Pengerusi GIFA 2023.
PUSAT Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam (IRCIEF), Universiti Islam Selangor (UIS) mengungguli Anugerah Terbaik Penyelidikan dan Pembangunan dalam Kewangan Islam 2023 (Best Research and Development in Islamic Finance Award) di 13th Global Islamic Finance Award (GIFA) 2023 yang berlangsung di Dakar, Senegal, semalam.
Jawatankuasa Anugerah Global Islamic Finance Award 2023 (GIFA) menilai pencalonan berdasarkan tiga faktor utama iaitu Tanggungjawab Sosial untuk etika dan sumbangan komuniti, Kepatuhan kepada Syariah untuk pematuhan terhadap piawaian Syariah, dan Komitmen kepada Perbankan dan Kewangan Islam yang dinilai dengan skor berbeza berdasarkan jenis institusi.
Majlis Penganugerahan tersebut turut menghimpunkan penerima-penerima anugerah dari pelbagai pemain dalam industri Kewangan Islam dari seluruh dunia untuk kategori yang berbeza. Anugerah tersebut disampaikan ketika Global Islamic Finance Summit (GIFS) 2023 berlangsung.
IRCIEF yang aktif dengan pelbagai penyelidikan berkaitan ekonomi dan kewangan Islam pernah menerima anugerah lain seperti pingat emas bagi inovasi Sadaqa House yang telah di laksanakan oleh Bank Islam Malaysia Berhad sebagai memenuhi tanggungjawab sosial terhadap komuniti umum dan Kewangan Islam. Hasil kerjasama baik ini, Sadaqa House Bank Islam telah beroperasi sejak tahun 2018.
Disamping itu, IRCIEF turut menganjurkan Kursus Jangka Pendek Sijil Shariah Perbankan dan Kewangan Islam yang dijalankan selama 3 bulan sebagai inisiatif untuk menyumbang kepada pembangunan sumber manusia dalam industri Kewangan Islam. Kursus ini terbuka kepada golongan professional dalam bidang perbankan, takaful, akademia, pekerja pelbagai agensi mahupun orang awam. Kursus-kursus ini telah melahirkan lebih 100 penerima sijil untuk 6 kohot.
Dr. Latifa Bibi Musafar Hameed, Pengarah IRCIEF-UIS, dan Ahmad Yani Ismail, Ketua Unit Penyelidikan dan Jaringan Industri IRCIEF-UIS, hadir dalam majlis berkenaan bagi menerima anugerah tersebut.
“Kami gembira dengan pengiktirafan yang diberikan oleh GIFA dan berharap banyak lagi sumbangan IRCIEF dapat dilaksanakan dengan sinergi banyak pihak. Ini adalah komitment kami untuk mencapai kecemerlangan dalam industri ekonomi dan kewangan Islam demi kemaslahatan ummah diperingkat nasional dan antarabangsa”, katanya.
#IRCIEF-UIS #Penyelidikan dan Pembangunan Kewangan Islam 2023 #GIFA 2023
;