Iran tawar bantuan siasat sindiket pasport
Astro Awani
Mac 11, 2014 21:29 MYT
Mac 11, 2014 21:29 MYT
Iran menawarkan bantuan kepada Malaysia untuk menyiasat dua warganegaranya yang dipercayai menaiki pesawat MH370 dengan menggunakan pasport curi.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Marzieh Afkham berkata republik Islam itu akan "membuat susulan ke atas laporan berhubung kemungkinan dua penumpang warga Iran menaiki pesawat berkenaan."
"Kami menawarkan kerjasama untuk mendapatkan maklumat tambahan," katanya seperti dipetik oleh AFP di Tehran.
Marzieh juga berjanji bahawa Tehran akan menyalurkan "sebarang maklumat mengenai warga Iran itu serta statusnya secepat mungkin."
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Selasa mendedahkan seorang penumpang yang menggunakan pasport curi itu dipercayai hendak berhijrah ke Jerman. Lelaki itu didedahkan sebagai
Pouria Nour Mohammad Mehrdad, warga Iran berumur 19 tahun.
Interpol kemudian mendedahkan identiti penumpang pasport curi yang kedua, yang juga warga Iran. Namanya, Delavar Seyed Mohammad Reza, 30 tahun.
Laporan adanya dua penumpang yang menaiki pesawat MH370 dengan menggunakan pasport curi mencetuskan kebimbangan kehilangan pesawat itu ada kaitan dengan pengganas.
##PrayForMH370
#Beijing
#Iran
#Kuala Lumpur
#Malaysia Airlines
#MH370
#pasport
#penerbangan Malaysia
#Thailand