IR4.0: Malaysia mampu tandingi China, Korea Selatan
Astro Awani
Julai 16, 2020 18:30 MYT
Julai 16, 2020 18:30 MYT
Sekiranya perancangan dalam program Pusat Kecemerlangan Asia untuk Teknologi Pintar (ACES) berjalan lancar, tidak mustahil Malaysia mampu menandingi negara seperti China dan Korea Selatan yang kini menerajui Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
Ketua Pegawai Operasi, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Ragu Simpasivam berkata, ACES mampu meningkatkan mutu dan pengeluaran produk syarikat di Malaysia sekali gus menarik pelabur teknologi tinggi ke negara ini.
Menurutnya, penerapan transformasi digital dan IR4.0 di Malaysia juga dijangka dapat dipercepatkan apabila pelaburan teknologi tinggi masuk ke negara ini.
“Salah satu langkah iaitu program ACES, dapat pertingkatkan penggunaan IR4.0 oleh pengusaha dan syarikat yang terdapat di wilayah ECER.
“(Sebagai contoh) kolaborasi kita dengan Universiti Teknikal Munich (TUM) ini bukan hanya sekadar di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sahaja malah kita boleh menyokong mana-mana syarikat di seluruh Malaysia dan Asia.
“Dengan adanya program ACES, kita dapat membantu meningkatkan lagi mutu dan pengeluaran mereka. Dengan itu mereka dapat menarik pelabur-pelabur dalam teknologi tinggi ke Malaysia,” katanya dalam temu bual Skype bersama Astro AWANI pada Khamis.
Tambahnya, ECERDC sebelum ini juga telah melaksanakan beberapa program yang memberi fokus kepada IR4.0 dan transformasi digital kepada pelajar sekolah menengah dan usahawan di wilayah tersebut.
Jelasnya, program itu telah dimulakan beberapa tahun lepas, sebelum COVID-19 melanda dunia yang memperlihatkan kini semakin ramai mula menyedari kepentingan beralih ke dunia digital.
“Program ini telah pun berjaya selama lebih kurang lima tahun yang lepas dan kita akan teruskan program ini supaya usahawan kita dapat gunakan platform digital untuk pemasaran produk mereka.
“Bukan sahaja domestik tapi di luar negara juga,” ujarnya.
Katanya lagi, dengan adanya ACES dan beberapa program lain, Malaysia yang dipacu ekonomi yang mantap diharap mampu kembali menjadi 'Harimau Asia' kelak.
Baru-baru ini ECERDC menyatakan akan terus menerajui pelaksanaan projek strategik dan menarik pelaburan baharu untuk mengekalkan momentum pembangunan serta memulihkan semula ekonomi pasca pandemik di ECER.
ECERDC menggariskan strategi untuk memacu ekonomi di ECER dan mengurangkan impak COVID-19 kepada rakyat dalam fasa pemulihan negara yang akan dilaksanakan seiring dengan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).
#Asia
#Astro
#Astro Awani
#China
#ECER
#ECERDC
#ekonomi
#Korea
#Korea Selatan
#Korea Utara
#Malaysia
#operasi
#pandemik
#Pantai Timur
#pelaburan
#pelajar
#PENJANA
#rakyat
#sekolah
#usahawan