IR 4.0 akan gagal kalau tiada kesinambungan dengan terdahulu - Rektor UIAM
Hasimi Muhamad
Disember 3, 2023 07:15 MYT
Disember 3, 2023 07:15 MYT
PUTRAJAYA: Pelaksanaan kurikulum revolusi industri di Malaysia disifatkan tidak selari dengan pembangunan infrastruktur yang masih belum lengkap termasuk akses elektrik.
Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Professor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berpandangan, dasar Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) sepatutnya kesinambungan daripada tiga revolusi industri terdahulu.
Justeru, jika tiada penyelesaian terhadap kesinambungan antara revolusi industri berkenaan, beliau tidak menolak kemungkinan IR 4.0 atau pelaksanaan rangkaian 5G akan berdepan kegagalan.
"Soalan saya kepada menteri (Kementerian Pendidikan), di mana kurikulum anda untuk Revolusi Industri 3.0? Di mana kurikulum untuk Revolusi Industri 2.0? Di mana kurikulum untuk Revolusi Industri 1.0? Revolusi Industri 2.0 membincangkan tentang elektrik.
"Jika anda mahu melibatkan diri dalam IR 4.0, anda mesti mempunyai elektrik. Berapa ramai rakyat Malaysia yang mempunyai (akses) elektrik? Sebanyak 60 peratus masih tidak mempunyai elektrik.
"Bagaimana mungkin anda melompat ke IR 4.0 jika IR 2.0 belum lengkap, malah masih bercakap tentang (teknologi) Starlink," katanya ketika berucap pada Wacana Perdana Siri 23 di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini pada Ahad.
Wacana tersebut bertajuk 'Kuasa Belia: Membina Masa Depan yang Lebih Baik Dalam Menghadapi Cabaran Ekonomi dan Alam Sekitar'.
Sambil membentangkan topik berkaitan 'anthropocene', Dzulkifli menambah IR 4.0 hanya akan menjadi 'eksklusif' untuk kumpulan tertentu seperti golongan elit dan kaya.
Keadaan itu, jelasnya memberi risiko untuk jurang antara golongan kaya dan miskin semakin melebar kerana tiada penyelesaian terhadap IR pertama hingga ketiga.
"Anda ingat ketika pandemik, saudara kita di Sabah terpaksa memanjat pokok untuk mendapatkan sambungan (internet)?
"Bagaimana mungkin anda bercakap tentang IR 4.0 sedangkan orang (di luar bandar) ini perlu memanjat pokok untuk mendapatkan sambungan pada tahap 3.0, yang sepatutnya berada pada tahun 1900-an," tambah beliau.
Untuk rekod, IR 1.0 bermula antara tahun 1760 hingga 1830 melalui perkembangan teknologi wap atau 'steam'.
IR 2.0 berkembang antara tahun 1870 hingga 1914, dengan perkembangan tenaga elektrik manakala IR 3.0 berasaskan teknologi maklumat dan komputer.
IR 4.0 pula dianggap sebagai fasa baharu dengan penekanan pada integrasi teknologi digital, kecerdasan buatan, dan penggunaan data besar untuk mentransformasi cara berinteraksi dengan dunia dan menjalankan perniagaan.