IPT perlu beri perhatian aspek kebolehpasaran graduan
Astro Awani
November 25, 2021 19:21 MYT
November 25, 2021 19:21 MYT
KUALA LUMPUR: Institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan disaran menjadikan aspek kebolehpasaran graduan sebagai antara elemen utama bagi meningkatkan reputasi di peringkat nasional serta antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Mohammad Shatar Sabran berkata, kini sudah tiba masanya IPT memberi perhatian serius terhadap aspek berkenaan memandangkan kecemerlangan akademik dan kemahiran teknikal sahaja belum cukup untuk menjamin kebolehpasaran graduan.
Beliau berkata, IPT perlu memikirkan cara untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan mereka kerana berkemungkinan besar ia akan diambil kira sebagai satu kriteria penting dalam penarafan universiti dunia pada masa akan datang.
"Perkara ini signifikan kerana boleh dijadikan sebagai indikator dalam usaha mempromosikan institusi masing-masing di persada nasional dan antarabangsa.
"Sekiranya kita mampu mempamerkan kadar kebolehpasaran graduan yang tinggi, pastinya akan menarik minat pelajar dari dalam dan luar negara untuk mengikuti pengajian di IPT tempatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di webinar bertajuk 'Pengantarabangsaan dan Kesan Penarafan serta Penilaian' anjuran AppliedHE Filipina Xchange.
Webinar itu turut disertai Pengerusi Persatuan Kolej dan Universiti Suruhanjaya Akreditasi Filipina, Dr Conrado Inigo Jr; Pengasas dan CEO AppliedHE Singapura, Mandy Mok; Pengarah Pejabat Institusi Penyelidikan, City University of Hong Kong, Dr Kevin Downing dan Ketua Penganalisis AppliedHE Singapura, Pleter Stek.
Mohammad Shatar berkata, hasrat Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Noraini Ahmad untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global dengan sasaran 250,000 pelajar antarabangsa akan dapat direalisasikan sekiranya aspek kebolehpasaran graduan dititikberatkan oleh IPT tempatan.
"Penumpuan kepada aspek kebolehpasaran graduan penting kerana kita tidak mahu ketinggalan dalam arus perdana apabila elemen ini dinilai dalam penarafan universiti dunia nanti.
"Ketika penilaiannya dilaksanakan nanti, kita mahu IPT di Malaysia bukan sahaja sudah bersedia dan cemerlang dalam bidang pengajian yang ditawarkan, malah mampu menjamin kebolehpasaran graduannya," katanya.