IPT perlu amal konsep kongsi ilmu, kepakaran - Zambry

Bernama
Februari 13, 2025 23:45 MYT
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika berucap pada Malam Anugerah Malaysia’s Research Star Award (MRSA) hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Institusi pendidikan tinggi (IPT) negara ini perlu mengamalkan konsep perkongsian ilmu serta kepakaran bagi menghasilkan sesuatu yang lebih hebat, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Ringkasan AI
  • Datuk Seri Zambry Abd Kadir menggesa IPT untuk berkongsi ilmu dan kepakaran bagi manfaat bersama dan kemajuan negara.
  • Beliau menekankan kepentingan menjaga reputasi IPT dengan mengelakkan budaya negatif yang boleh mencemarkan nama institusi.
  • Penerbitan bahan ilmiah dapat meningkatkan reputasi IPT, dengan Universiti Putra Malaysia mengungguli beberapa kategori Anugerah MRSA 2025.

Berucap pada majlis Malaysia's Research Star Award (MRSA) 2025 di sebuah hotel di sini malam ini, beliau berkata amalan tersebut bukan hanya mendatangkan manfaat kepada IPT itu sendiri tetapi turut memberi kesan positif kepada negara.
"Konsep ini sangat mustahak sebab kita sering kali uar-uarkan kepada dunia tentang kepentingannya.
"Jadi, jangan terlalu tertutup dari segi pendekatan bersama ini, jangan masing-masing nak menjaga universiti dan merasakan universitinya lebih baik daripada universiti lain," katanya.
Zambry turut menyeru warga IPT agar menghentikan budaya atau amalan yang boleh menimbulkan persepsi negatif masyarakat terhadap institusi pendidikan negara sehingga mencemarkan nama baik IPT masing-masing.
"Kita kena keluarkan diri kita daripada budaya-budaya yang tidak baik di universiti, jangan berantakan sesama sendiri kerana ia akan mematikan tradisi akademik universiti," katanya.
Mengenai penerbitan bahan ilmiah, beliau berkata penerbitan bahan itu dapat membantu meningkatkan reputasi dan kualiti IPT tempatan.
"Saya ucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah MRSA 2025. Semoga kejayaan ini membawa inspirasi ke arah pencapaian yang lebih gemilang," katanya.
MRSA yang diperkenalkan pada 2012 menyaksikan penyampaian 26 anugerah daripada empat kategori iaitu Frontier Researcher, Outstanding Research in Phytochemicals, Researcher Cluster dan Journal.
Universiti Putra Malaysia mengungguli kategori Frontier Researcher dan Outstanding Research in Phytochemicals.
-- BERNAMA
#IPT #kongsi ilmu #kepakaran #Zambry Abd Kadir
;