IPT main peranan penting dalam membangunkan masyarakat dan negara - Zambry

Astro Awani
Februari 5, 2024 22:43 MYT
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ditemui media selepas Program Libat Urus Menteri Pendidikan Tinggi Bersama Duta-duta Luar Negara di ibu kota, hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Peranan pusat pengajian tinggi amat penting dalam usaha kerajaan membangunkan masyarakat dan negara, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir
Zambry menjelaskan, disebabkan peranan tersebut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memastikan dasar pendidikan negara berjaya dilaksanakan.
Beliau menjelaskan, pemegang taruh di pusat pengajian tinggi memainkan peranan dalam memastikan dasar pendidikan yang ditetapkan berjaya dilaksanakan seperti yang dihasratkan oleh kerajaan.
Menurut Zambry, ketika diberikan amanah menerajui KPT dalam rombakan kabinet baru-baru ini, beliau menekankan bahawa setiap gerak kerja adalah secara berpasukan dan bukan dari menteri semata-mata.
"Saya mahu ubah pendekatan daripada I atau saya itu beralih kepada We atau kita yang membawa maskud kita semua.
"Semua pihak di KPT dan institusi pengajian tinggi yang bertanggungjawab dalam membangunkan pendidikan tinggi kita ini, bukan hanya saya seorang sahaja.
"Jadi, semua yang ada bersama saya ini adalah satu pasukan yang berperanan untuk membangunkan dan menggerakkan usaha menjadikan Malaysia ini sebagai negara contoh terbaik dalam pendidikan tinggi," katanya dalam program Agenda AWANI.
Beliau juga menjelaskan, KPT menekankan kepada lima fokus utama meliputi 20 landasan hala tuju yang akan dilaksanakan sepanjang tahun ini adalah ke arah peningkatan prestasi kecemerlangan pendidikan tinggi.
Jelas Zambry, lima fokus utama itu adalah penyediaan bakat terbaik negara, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi, pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu, pengantarabangsaan pendidikan tinggi, serta pemantapan ekosistem pemboleh daya.
Ujar beliau, lima fokus utama yang turut meliputi 20 landasan hala tuju itu adalah hasil perbincangan pelbagai pihak yang antaranya menyentuh mengenai sektor pendidikan tinggi negara agar perlu inklusif dan terbuka kepada semua kelompok termasuklah golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Bagaimanapun menurut Zambry, lima fokus utama dan 20 landasan hala tuju yang digariskan itu bukanlah sesuatu ketetapan yang tidak boleh diubah, sebaliknya pindaan atau perubahan boleh dibuat dari semasa ke semasa mengikut keperluan dan kesesuaian yang wajar diberikan keutamaan ke arah meningkatkan prestasi kecemerlangan pendidikan tinggi.
#Zambry Abdul Kadir #Kementerian Pendidikan Tinggi #KPT #IPT #Dasar Pendidikan Negara
;