IPT disaran lakukan semakan latar belakang pensyarah, kekang fahaman Daish

Tan Su Lin
Julai 7, 2016 08:18 MYT
Semua institut pengajian tinggi (IPT) disarankan agar melakukan saringan latar belakang pensyarah bagi menyekat fahaman militan Daish daripada melebarkan pengaruhnya di IPT. - Gambar fail
Semua institut pengajian tinggi (IPT) disarankan agar melakukan saringan latar belakang pensyarah bagi menyekat fahaman militan Daish daripada melebarkan pengaruhnya di seluruh negara.
Ini termasuk menapis setiap pensyarah jemputan luar negara.
Pakar Kriminologi, Datuk Akhbar Satar, bimbang kelonggaran dalam semakan latar belakang pensyarah antara punca penyebaran idealogi militan itu di IPT.
"Pertama, di IPT hendaklah kita perlu tapis semua pensyarah samada ada mirip Daish. Kedua, kita perlu pastikan penceramah luar negara yang datang juga ditapis. Kadang-kadang mereka pergi ke universiti untuk beri ceramah sambilan dan ini banyak mempengaruhi anak muda kita terutamanya 'Gen-Y' yang banyak terlibat dalam fahaman Daish," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa IPT dikenal pasti sebagai lokasi yang dikhuatiri mempunyai pengaruh paling kuat kumpulan keganasan militan.
Selain itu, Akhbar juga menyarankan ibu bapa memainkan peranan dalam mengawasi penggunaan media sosial anak mereka yang sering digunakan kumpulan militan dalam merekrut anggota baharu.
"Kita juga mesti lihat kepada Facebook kerana kebanyakan daripada proses merekrut anggota mereka dilakukan melalui Facebook. Ini bermakna bukan sahaja peranan IPT, tetapi ibu bapa juga perlu mengawal anak mereka dan pastikan mereka tidak berhubungan dengan mereka yang berkaitan Daish," katanya.
Akbar juga bersetuju dengan rancangan kerajaan untuk mendapatkan kerjasama bekas militan tempatan yang dipulihkan untuk membantu meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap ancaman keganasan.
Namun, ujarnya, pihak berkuasa perlu memastikan mereka benar-benar pulih untuk memastikan keberkesanan langkah berkenaan.
#daish #Datuk Akhbar Satar #IPT