IPT digesa lahirkan banyak graduan mencipta, bukan hanya pencari kerja
Bernama
Oktober 18, 2019 04:58 MYT
Oktober 18, 2019 04:58 MYT
Setiap institusi pengajian tinggi di Malaysia perlu meningkatkan usaha mengeluarkan graduan yang boleh mencipta pekerjaan dan bukannya mencari pekerjaan, kata Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan, Datuk Kamel Mohamad Rasmi pada Jumaat.
Katanya salah satu kaedah mencapai sasaran ini adalah dengan mengambil tanggungjawab melahirkan graduan yang mempunyai kemahiran dalam bidang keusahawanan dengan sekurang-kurangnya lima peratus daripada mereka mampu muncul sebagai usahawan muda.
"Kita mahu lahirkan lebih banyak 'pencipta kerja' berbanding kebiasaannya 'pencari kerja' setelah para pelajar ini tamat pengajian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Siswapreneur Zon Utara 2019 di sini.
Karnival Siswapreneur Zon Utara tahun ini diadakan bermula Jumaat sehingga 20 Okt dengan Universiti Utara Malaysia (UUM) bertindak sebagai penganjurnya dan disertai 12 Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, politeknik dan kolej komuniti di kawasan utara Semenanjung Malaysia.
Kamel berharap pada tahun-tahun seterusnya acara sebegini akan lebih banyak disertai oleh Orang Kelainan Upaya (OKU) dan golongan B40.
-- BERNAMA
#graduan
#inovasi
#Institusi Pengajian Tinggi
#IPT
#Kamel Mohamad Rasmi
#Karnival Siswapreneur
#keusahawanan
#Malaysia
#pencari kerja
#pencipta kerja
#usahawan muda