Ipsos: Rakyat Malaysia percaya impak COVID-19 bersifat universal
Astro Awani
Mac 11, 2021 18:31 MYT
Mac 11, 2021 18:31 MYT
KUALA LUMPUR: Banyak yang telah diperkatakan mengenai kesan pandemik COVID-19 terhadap komuniti dan kumpulan demografik yang berbeza, termasuk implikasi terhadap wanita.
Firma penyelidikan pasaran dan perundingan antarabangsa Ipsos, menerusi satu tinjauan mendapati 80 peratus responden di Malaysia percaya impak pandemik itu bersifat universal dan tidak terarah pada satu jantina sahaja.
Di tempat kedua adalah China dengan 69 peratus responden berkongsi pandangan tersebut, diikuti Amerika Syarikat (65 peratus), Britain (63 peratus) dan Korea Selatan (41 peratus).
Kajian Ipsos juga mendapati hanya 30 peratus responden Malaysia bersetuju lebih banyak sokongan diperlukan untuk golongan wanita yang menjadi mangsa keganasan dan penganiayaan.
Malaysia menduduki ranking yang baik dalam beberapa aspek seperti persepsi bantuan sosial termasuk wang tunai dan sokongan makanan bagi wanita, amalan kerja fleksibel dan akses yang lebih baik terhadap perkhidmatan kesihatan.
Tinjauan dari 22 Januari hingga 5 Februari itu dijalankan sempena Hari Wanita Antarabangsa 2021 pada 8 Mac lalu.