IPP Malaysia meningkat April 2024, kekal momentum positif empat bulan berturut-turut

Nabilah Khaleeda
Jun 10, 2024 13:06 MYT
Peningkatan IPP didorong oleh pertumbuhan output sektor pembuatan yang lebih tinggi selepas mencatatkan 2.4 peratus pada bulan sebelumnya, mengekalkan momentum positif bagi empat bulan berturut-turut. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Indeks pengeluaran perindustrian (IPP) Malaysia meningkat 6.1 peratus pada April 2024.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, (DOSM), peningkatan itu didorong oleh pertumbuhan output sektor pembuatan yang lebih tinggi selepas mencatatkan 2.4 peratus pada bulan sebelumnya, mengekalkan momentum positif bagi empat bulan berturut-turut.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan memakumkan, ia disokong oleh pengeluaran yang lebih tinggi dalam industri berorientasikan eksport iaitu sebanyak 2.6 peratus berbanding 0.5 peratus yang direkodkan pada Mac 2024.
"IPP juga mencatatkan pertumbuhan tertinggi sejak September 2022 disokong oleh pengembangan dalam semua sektor pada bulan berkenaan.
"Sementara itu, sektor pengeluaran dan pembuatan berkembang sebanyak 4.9 peratus manakala sektor perlombongan merekodkan pertumbuhan kukuh 10.0 peratus.
"Pada masa sama, pertumbuhan sektor elektrik kekal stabil pada kadar 7.6 peratus," kata Mohd Uzir.
Pengembangan tahun ke tahun ini adalah selari dengan prestasi eksport barangan perkilangan negara yang berkembang 7.1 peratus pada April 2024.
Perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport jatuh 11.6 peratus berbanding pertumbuhan 11.0 peratus pada Mac 2024.
#IPP #Indeks Pengeluaran Perindustrian #Jabatan Perangkaan Malaysia #sektor pembuatan
;