Ipoh di tangga pertama 'lokasi menarik paling kurang dinilai' di Asia - Datuk Bandar

Aida Aziz
Disember 24, 2022 12:38 MYT
Rumaizi bergambar bersama Ahli-ahli Majlis MBI selepas Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Disember di Dewan Mesyuarat MBI, di sini, baru-baru ini. -Astro AWANI
IPOH: Ipoh disenaraikan di tangga pertama sebagai tempat menarik paling kurang dinilai di Asia oleh portal CNN Travel, kata Datuk Bandar Datuk Rumaizi Baharin.
Katanya, penilaian itu sangat bermakna dan diterjemahkan sebagai pengiktirafan, di samping dapat menarik kehadiran lebih ramai pengunjung ke Ipoh sempena Tahun Melawat Ipoh 2023.
"Antara 18 lokasi di Asia yang telah dinilai termasuk ​Ipoh, Malaysia; Isaan, Thailand; ​Leshan, China; Skardu, Pakistan; ​Nikko, Jepun; Dalat, Vietnam; Davao, Filipina.
"​Meghalaya, India; Palau Ubin, Singapura; Pulau Samosir, Indonesia; Pakse, Laos; Bangladesh, Tengchong, China; Kepulauan Gogunsan, Korea Selatan; Teluk Lan Ha, Vietnam; Kenting, Taiwan; Banteay Chhmar, Kemboja; dan Jaffna, Sri Lanka," katanya
Rumaizi berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Disember di Dewan Mesyuarat Majlis Bandaraya Ipoh, di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau berkata Ipoh dan Petaling Jaya disenaraikan dua kawasan di negara ini dengan jumlah carian tertinggi oleh rakyat Malaysia yang sedang mencari hartanah kediaman untuk dijual di laman web iProperty.com.my, antara Januari hingga November.
Katanya lagi, sumber data itu diperoleh daripada PropertyGuru Malaysia.
"Data carian oleh portal hartanah terkemuka itu mencerminkan perubahan dalam corak carian hartanah kediaman.
"Apabila tahun ini, lebih ramai pembeli rumah dan pelabur berpotensi kini mempertimbangkan kawasan terpilih di luar Lembah Klang.
"Lokasi berkenaan cenderung menawarkan rumah bertanah mampu milik dalam persekitaran yang mesra keluarga," katanya.
Katanya lagi, pada 2022, lebih ramai pelabur dan pembeli mempertimbangkan hartanah kediaman di kawasan yang terletak di luar Lembah Klang.
Rumaizi berkata, tahun 2023 adalah tahun yang menarik untuk diramal sama ada hartanah kediaman di luar bandar utama atau kawasan kegemaran ramai akan terus mendapat tarikan dalam kalangan pembeli dan pelabur rumah.
Katanya, Ipoh tanpa dijangka muncul kawasan paling popular tahun ini, sekali gus menjadi bandar kedua di luar Lembah Klang yang pernah menduduki tempat tertinggi dalam senarai carian hartanah selepas Johor Bahru pada 2022.
"Ibu negeri Perak itu dikenali sebagai hab makanan tempatan, pemeliharaan warisan, bangunan dan mercu tanda bersejarah, selain berhubung terus dengan Lebuhraya Utara-Selatan.
"Ipoh merekodkan 1,916 transaksi merentas semua jenis hartanah kediaman pada tahun lalu," katanya.
Tambahnya, kawasan lain yang disenaraikan antara 10 lokasi carian popular di Malaysia adalah Cheras, Bandaraya Johor Bahru, Puchong, Kuching, Port Dickson, Mont Kiara, Bandaraya Shah Alam, dan Bandaraya Seremban.
#CNN Travel #Rumaizi Baharin #Tahun Melawat Ipoh 2023 #tempat menarik yang paling kurang dinilai di Asia
;