Ipoh boleh jadi seperti Mumbai, pusat perusahaan filem - Datuk Bandar
Aida Aziz
September 1, 2022 18:45 MYT
September 1, 2022 18:45 MYT
IPOH: Ipoh berpotensi besar menjadi sebuah bandar raya seni dan kreatif khususnya sebagai pusat perusahaan filem seperti Mumbai, India.
Sasaran dan harapan itu disuarakan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin yang berpandangan bandar raya ini mampu menjadi lokasi tumpuan dalam aspek seni kreatif sebagaimana Bollywood.
Untuk itu, beliau berkata, pihaknya sudah mengatur strategi dan sedang bergerak ke arah mencapai sasaran itu lebih-lebih lagi dari sudut penyediaan infrastruktur terkini.
"Kita di Ipoh akan fokus kepada bandar pelancongan, kreatif dan seni. Ia baru digerakkan pada Januari lalu.
"Jangan terkejut satu hari nanti, dalam pandangan saya Ipoh akan jadi seperti Mumbai, yang terkenal dengan jolokan Bollywood.
"Atau Shanghai yang juga terkenal, kita akan bergerak ke arah itu. Untuk ekonomi budaya, Ipoh akan menjuarai di peringkat negara, tidak mustahil kalau betul-betul usaha kita boleh pergi hingga Asia Tenggara," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas sempena Majlis Menghargai Jasa Hero-Hero Malaysia dan Tayangan Filem Juang di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pincer MBI Studio Sdn Bhd, Kah Fee Yee dan salah seorang penerbit filem Juang, Allyan Too.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada pihaknya akan mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain bagi merealisasikan hasrat itu, Rumaizi berkata, perkara itu sudah ada dalam perancangan.
Beliau yang juga Pengerusi Pusat Inovasi dan Sumber Kreatif Perak (Pincer) MBI Studio Sdn Bhd berkata, dalam masa sama, pembangunan teknologi juga sedang dirangka.
"Itu memang dalam perancangan kita (kerjasama dengan PBT dan negeri lain), tetapi perkara paling asas ialah bangunkan infrastruktur.
"Sebab itu selain daripada infrastukur studio, kita sudah membangunkan teknologi 5G.
"Saya jangka dalam masa terdekat kita akan pergi ke sana bukan saja dalam negara, luar negara pun kita akan buat seperti China yang sebelum ini datang buat penggambaran di lokasi menarik di sini," katanya lagi.
Terdahulu dalam sidang media itu, Rumaizi berkata, Pincer MBI Studio Sdn Bhd dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan mengadakan Majlis Menghargai Jasa Hero-Hero Malaysia dan Tayangan Filem Juang pada 5 September ini.
Acara itu akan diadakan pada puku;=l 8 malam di Golden Screen Cinema (GSC), Ipoh Parade, di sini.
Rumaizi berkata, program tayangan itu bertujuan menghargai jasa dan barisan dan pengorbanan sepanjang tempoh pandemik dan endemik.