Ipoh bakal jadi Bandaraya Sukan - MB Perak

Bernama
September 22, 2018 21:30 MYT
AHMAD FAISAL: Bandaraya Sukan ini akan menjadi pusat acara sukan bukan sahaja di peringkat negeri tapi juga peringkat kebangsaan dan antarabangsa. - gambar hiasan
Kerajaan Perak berhasrat menjadikan Ipoh sebuah Bandaraya Sukan bagi memastikan kemudahan dan infrastruktur sukan yang dibina sempena temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 tidak terabai.
Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata bandaraya sukan akan dijadikan sebagai hub untuk pelbagai acara sukan seperti sukan asas, ekstrem dan juga permainan dalam talian (e-games).
"Bandaraya Sukan ini akan menjadi pusat acara sukan bukan sahaja di peringkat negeri tapi juga peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya pada sidang media di Pusat Media di Kompleks Sukan dan Belia di sini hari ini.
Beliau juga berkata bandaraya sukan ini juga akan dijadikan sebagai tempat persidangan bagi pelbagai acara sukan sekali gus menjadikan Ipoh sebagai destinasi pelancongan sukan utama di negara.
"Kita juga sudah menyatakan hasrat ini kepada Menteri Belia dan Sukan. Kita juga merancang akan menyediakan fasiliti lain seperti penginapan.
"Dan semua ini telah dirancangkan dan akan dilaksanakan melalui sebuah perbadanan bagi mengurus tadbir semua kemudahan sukan," katanya.
Menurutnya, cadangan penubuhan perbadanan itu akan dibentangkan pada persidangan pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun depan untuk mendapat kelulusan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri Howard Lee Chuan How berkata Ipoh merupakan lokasi sesuai untuk dijadikan bandaraya sukan memandangkan selain di sini, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) juga boleh dijadikan tumpuan sukan berprofil tinggi.
"Di UPSI, boleh dijadikan tumpuan bagi para akademik sukan dan kajian-kajian sukan, jadi mereka boleh berkumpul di sana. Orang awam atau atlet-atlet pula boleh ke sini (Ipoh). Kita akan memastikan penginapan akan ditambah baik bagi atlet awam atau berprestij tinggi untuk menikmati kemudahan yang ada," katanya.
Terdahulu, Ahmad Faizal menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat kedua dan ketiga bagi Anugerah Media Sukma Perak 2018.
Bagi kategori laporan berita terbaik (media elektronik) tempat kedua Mohd Fauzi Mohd Marzuki dari RTM bertajuk 'Hero Yang Tidak Didendang Mengutip Sampah Sewaktu Sukma' manakala tempat ketiga dimenangi oleh Adam Abdul Karim Zambri dari Astro Arena bertajuk 'Penampilan Wushu Adik Beradik'.
Kategori laporan berita terbaik (media cetak) tempat kedua dimenangi oleh Nur Syabiha Syukri dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dengan berita bertajuk Perkukuh Perpaduan, Bangunkan Pelancongan Negeri Perak dan tempat ketiga dimenangi Jumaiti Rosly dari Berita Harian dengan tajuk Atlet Angkat Berat Yang Mencatat Kejayaan.
Manakala kategori fotografi terbaik, tempat kedua dimenangi Muhammad Afiq Hambali Ahmad Ziad dari Tribes dan ketiga dimenangi oleh Effendy Rasid dari New Straits Times Press.
Bagi hadiah tempat pertama ketiga-tiga kategori itu akan disampaikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada perasmian penutup malam ini.
-- BERNAMA
#Ahmad Faizal Azumu #Bandaraya Sukan #e-games #Ipoh #Menteri Besar #Menteri Besar Perak #Perak #permainan #sukan #SUKMA
;