iPhone 14, 14 Plus Apple kini dalam warna kuning

Ibrahim Sani
Mac 8, 2023 14:24 MYT
Dengan warna terbaharu ini, iPhone 14 dan 14 Plus kini memiliki enam warna untuk dipilih secara keseluruhannya. - Apple
KUALA LUMPUR: Apple melancarkan peranti popularnya iPhone 14 dan 14 Plus berwarna kuning, sekali gus mengesahkan khabar angin seperti dilaporkan media sebelum ini.
Dengan warna terbaharu ini, ia kini memiliki enam warna untuk dipilih secara keseluruhannya.
Pra-tempahan bagi model warna kuning itu akan dibuka pada 10 Mac dan jualan pula bermula 14 Mac nanti.
Bagaimanapun tiada sebarang perubahan spesifikasi peranti ini berbanding model yang dilancarkan tahun lalu.
Ia masih dibekalkan dengan paparan skrin 6.1inci dan 6.7 inci bertakuk, penggunaan cip Apple A15 Bionic dan dwi-kamera 12MP di bahagian belakang.
Namun demikian, Apple mengatakan bahawa terdapat sedikit kemas kini telah dilakukan pada ciri dalaman peranti itu untuk memaksimakan produktiviti dalaman bagi pengguna.
Kemas kini dalaman ini dikatakan membantu dalam proses pembaikan sekiranya diperlukan.
iPhone 14 membekalkan ciri Photonic Engine, yang membolehkan prestasi mengambil foto dalam keadaan cahaya rendah atau kelam, berbanding peranti generasi sebelum ini. Photonic Engine juga mampu mengekalkan tekstur foto yang lebih baik.
Apple iPhone 14 dijual pada harga bermula RM4,199 untuk model 128GB manakala iPhone 14 Plus pula bermula RM4,699 juga untuk model 128GB.
#iPhone 14 #iphone 14 plus #Kuning #Apple #peranti #photonic engine
;