IPD Padang Besar akan dibina baharu tahun depan - Saifuddin
Bernama
November 4, 2023 12:47 MYT
November 4, 2023 12:47 MYT
KUALA PERLIS: Kerajaan akan membina Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar, Perlis yang baharu di tapak sedia ada dengan kerja pembinaan bangunan itu dijangkakan bermula tahun depan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata projek pembangunan itu telah mendapat kelulusan bajet untuk dilaksanakan setelah tersenarai antara IPD yang akan dibangunkan semula.
"...secara prinsipnya itu termasuk dalam projek yang telah pun kita dapat kelulusan untuk kita laksanakan di IPD, selain IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Pulau Pinang, Perak dan Kelantan, yang di Padang Besar (melibatkan) IPD.
"(IPD Padang Besar melibatkan) binaan baharu, bajet diluluskan, tanah dah ada (atas tapak sedia ada), seterusnya proses kaedah perolehan, lantikan (kontraktor) dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas melawat Markas Taktikal Pasukan Polis Marin Kuala Perlis Wilayah I di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata projek untuk membangunkan semula IPD Padang Besar itu mendapat pengesahan kelulusan seminggu lepas.
"Saya ambil peluang umumkan dulu, kebetulan Ketua Polis Perlis (Datuk Muhammad Abdul Halim) pun ada (hari ini), saya yang bagi tau kat dia," katanya.
Beliau berkata IPD di negeri lain yang turut tersenarai untuk pembangunan semula itu akan diumumkan beliau kemudian dalam lawatan ke negeri berkenaan.
-- BERNAMA