IPD Gerik nafi anggota masuk hospital akibat komplikasi vaksin COVID-19

Astro Awani
April 4, 2021 14:10 MYT
Polis Gerik bagaimanapun memaklumkan anggota tersebut dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung. - Foto Fail
KUALA LUMPUR: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik hari ini menafikan mesej tular di media sosial kononnya terdapat anggotanya yang dimasukkan ke hospital akibat komplikasi suntikan dos kedua vaksin COVID-19.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Polis Gerik bagaimanapun memaklumkan anggota tersebut dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung.
"Berita kematian anggota polis IPD Gerik akibat komplikasi suntikan dos kedua adalah tidak benar.
"Untuk makluman, seorang anggota dimasukan ke Hospital Gerik semalam (Sabtu) akibat serangan jantung dan telah dipindahkan ke CCU (Unit Rawatan Koronari (CCU) Hospital Taiping, anggota tersebut berada dalam keadaan stabil," memetik kenyataan tersebut.
Justeru, PDRM memberi peringatan dan menasihatkan orang ramai agar tidak memuat naik kenyataan berkenaan kejadian yang tidak dapat dipastikan.
PDRM bimbang, kenyataan sebegitu boleh mengugat keharmonian, kedamaian dan mencetuskan kebimbangan kepada awam.
Tular sejak tengah malam tadi, kononnya terdapat anggota polis dari IPD Gerik dimasukkan ke Unit Kecemasan Hospital Gerik akibat komplikasi suntikan dos kedua vaksin COVID-19.
Sebarang penciptaan atau penyebaran berita dan kandungan palsu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.
#COVID-19 #PDRM #Facebook #serangan #media sosial #vaksin #komplikasi vaksin COVID-19 #Semak Fakta #berita palsu
;