IPCMC tidak hilangkan kuasa polis - Ketua Polis Negara
Fareez Azman
Mei 10, 2019 17:41 MYT
Mei 10, 2019 17:41 MYT
Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berpuas hati dengan perbincangan yang dijalankan di antara pihaknya bersama Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) mengenai penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan Dan Salah Laku Polis (IPCMC).
Jelasnya, pandangan bahawa penubuhan suruhanjaya itu boleh menghilangkan kuasa polis seperti mana yang dibimbangi segelintir pihak di kalangan pihak berkuasa itu, ternyata meleset.
“Perkara yang menjadi kebimbangan PDRM telah diyakinkan oleh Tan Sri Abu Kassim," kata Abdul Hamid merujuk kepada Ketua Pengarah GIACC Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang juga bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Kekhuatiran tersebut jauh meleset. Sebaliknya, IPCMC memberi banyak ruang dan peluang kepada PDRM, tidak sesekali menghakis atau menghilangkan kuasa polis," tambahnya.
Ujarnya, dengan penubuhan IPCMC itu, menjadi harapannya sebagai Ketua Polis Negara yang baharu agar integriti PDRM terus terpelihara.
Malah, kata Abdul Hamid, IPCMC memberi manfaat kepada polis dan memelihara sensitiviti rakyat.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat perbincangan penubuhan IPCMC bersama GIACC di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
“Saya amat berpuas hati dengan proses perbincangan yang berjalan lebih sejam ini, di mana pegawai tinggi mewakili jabatan dan persatuan PDRM, diberi peluang seluas-luasnya.
"Mereka memberi pandangan, menimbulkan perkara yang tidak memuaskan hati. Segala pandangan serta perkara dibangkitkan telah mendapat jawapan begitu jelas, memuaskan hati PDRM," katanya.
Sebelum ini, penubuhan IPCMC mendapat bantahan beberapa pihak di dalam PDRM seperti yang dijelaskan bekas ketua polis negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
#Abdul Hamid Bador
#Abu Kassim Mohamed
#GIACC
#integriti
#IPCMC
#Ketua Polis Negara
#kuasa polis
#PDRM
#polis
#Rasuah
#SPRM