IPCMC mampu tingkatkan reputasi pasukan polis
Bernama
Mei 30, 2019 21:29 MYT
Mei 30, 2019 21:29 MYT
Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang dicadangkan mempunyai peranan penting dalam meningkatkan reputasi dan kedudukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di mata umum, Pengerusi Pasukan Petugas IPCMC Majlis Peguam Datuk Seri M Ramachelvam.
Justeru, tidak ada sebab untuk orang awam, termasuk polis melihat IPCMC secara negatif kerana suruhanjaya yang akan ditubuhkan pada tahun ini akan membawa impak positif kepada pasukan itu.
"Ia bukannya sesuatu yang dipandang secara negatif. Mereka (polis) telah menjalankan tugas mereka dengan baik berdasarkan undang-undang dan adab tetapi terdapat segelintir yang menjatuhkan nama dan reputasi pasukan itu.
"Mereka yang patuh dengan undang-undang mereka tidak perlu takut IPCMC. Maka, kami berharap suruhanjaya ini akan menjadi kenyataan nanti," katanya selepas perbincangan meja bulat "IPCMC Tanpa Ditangguhkan Lagi" di Majlis Peguam Malaysia, di sini hari ini.
Beliau percaya IPCMC akan mengubah persepsi ramai orang terutama mereka yang mengalami pengalaman dengan pihak polis yang tidak mematuhi undang-undang ketika bertugas.
"IPCMC ini, sebuah badan siasatan bebas bukan hanya mendakwa mereka tetapi juga menyerlahkan pasukan ini dengan cara yang baik dan memberikan keyakinan kepada masyarakat," katanya.
13 Mei lepas, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan IPCMC mungkin dilaksanakan sebelum hujung tahun ini.
-- BERNAMA
#badan siasatan bebas
#impak positif
#IPCMC
#M Ramachelvam
#Muhyiddin Yassin
#negatif
#polis
#reputasi
#siasatan
#undang-undang