IPCMC ditubuhkan hujung tahun ini - Muhyiddin
Wan Syamsul Amly, Isabelle Leong
Mei 13, 2019 14:50 MYT
Mei 13, 2019 14:50 MYT
Rang Undang- Undang (RUU) berhubung Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) akan dibentang pada sesi Parlimen akan datang.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata, ia sekali gus jangkakan IPCMC dapat dibentuk pada hujung tahun ini.
"Penggubalan RUU IPCMC yang saya kira sudah dimulakan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) akan dapat diselesaikan dalam satu tempoh yang tidak terlalu lama.
"Ada beberapa sesi Parlimen yang akan kita hadapi sebelum akhir tahun ini untuk membolehkan RUU IPCMC dibentang dan diluluskan Parlimen.
"Jadi, bagaimana dijangka dan diharapkan boleh dapat kita bentuk IPCMC ini sebelum akhir tahun,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan surat pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara baharu di sini, pada Isnin.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpuas hati dengan proses perbincangan berhubung penubuhan IPCMC.
Dalam perbincangan yang berjalan lebih sejam itu, jelas beliau, pegawai-pegawainya telah diberi peluang seluas-luasnya untuk memberi pandangan atau menzahirkan rasa tidak puas hati dan pihaknya telah mendapat jawapan jelas serta amat memuaskan hati dari Governans Integriti dan Anti Rasuah Negara (GIACC).
Sementara Ketua Pengarah GIACC, Tan Sri Abu Kassim Mohamed pada prinsipnya, beliau boleh nyatakan tiada halangan dan sokongan diberikan (PDRM) kepada kerajaan untuk penubuhan IPCMC.
Dalam pada itu, Muhyiddin menjelaskan, apa sahaja kebimbangan PDRM mengenai IPCMC sudah dijawab dalam pertemuan berkenaan.
#GIACC
#IPCMC
#Muhyiddin Yassin
#Polis Diraja Malaysia
#Pusat Governans Integriti dan Antirasuah Nasional
#Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis