IPCMC bukan untuk hukum polis - Muhyiddin

Bernama
Mei 3, 2019 12:22 MYT
Muhyiddin berkata, beliau telah meminta kerjasama Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed untuk mengadakan sesi penerangan khusus. - Gambar fail
Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) bukan untuk menghukum anggota polis, tegas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata tanggapan kononnya polis akan menjadi sasaran selepas penubuhan Suruhanjaya itu adalah tidak benar sama sekali.
"Masih ada perkara yang belum lagi diperjelas terutama mereka (polis) andaikan bahawa dengan adanya IPCMC polis akan jadi sasaran.
"... (kononnya) polis lakukan banyak kesalahan maka tertubuh IPCMC, seolah-olah to punish them... itu tidak betul," katanya dalam wawancara bersama media sempena ulang tahun pertama kerajaan Pakatan Harapan berkaitan kementeriannya di sini.
Muhyiddin berkata, beliau telah meminta kerjasama Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed untuk mengadakan sesi penerangan khusus dengan pihak polis.
"(Melalui sesi itu) polis boleh jelaskan isu berbangkit yang mungkin mereka tidak puas hati dan perkara itu akan dibawa ke (pengetahuan) jemaah menteri.
"Mungkin soal gubal undang-undang berkaitan perlu kita (kerajaan) lakukan selepas itu," katanya.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata Polis DiRaja Malaysia akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mengemukakan bantahan berhubung beberapa perkara membabitkan penubuhan IPCMC.
Mohamad Fuzi, yang bakal bersara hari ini, berkata antara perkara yang diusulkan berhubung penubuhan IPCMC, terutamanya menarik kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) di bawah Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, mendapat bantahan daripada banyak pihak dalam PDRM.
Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan mengatakan bahawa SPP yang dianggotai oleh Menteri Dalam Negeri akan bertanggungjawab atas pelantikan, promosi dan semua isu mengenai tatatertib pegawai polis.
-- BERNAMA
#Abu Kassim Mohamed #Ketua Polis Negara #Mahathir Mohamad #Malaysia #Muhyiddin Yassin #Pakatan Harapan #PDRM #Perdana Menteri #Polis Diraja Malaysia
;