IPCMC ambil kira pandangan pelbagai pihak sebelum bentang di Dewan Rakyat

Astro Awani
November 16, 2019 12:48 MYT
Menurut Ramkarpal Singh, ketika ini laporan lengkap berhubung perkara itu sedang disiapkan dalam tempoh seminggu dari sekarang. - Gambar fail
Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) mengambil kira pandangan dari pelbagai pihak termasuk pembangkang sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis 2019, Ramkarpal Singh berkata, ketika ini laporan lengkap berhubung perkara itu sedang disiapkan dalam tempoh seminggu dari sekarang.
Menurut beliau, kesemua pandangan itu akan disimpulkan dalam laporan sebelum Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis dibentang di Dewan Rakyat selewat-lewatnya 25 November ini.
"Laporan yang akan kita sediakan akan mengambil kira semua pandangan untuk dan... menentang Rang Undang-Undang ini, itu tugas kami.
"Tugas kami adalah untuk membawa ke Parlimen pandangan semua dna memberi syor-syor berdasarkan pandangan-pandangan tersebut dan berdasarkan apa yang kajian kita dapat. Perlulah berasa (itu) kalau UMNO mengambil pandangan tersebut, terpulang pada UMNO," katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada sesi kelima Pendengaran Awam Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang di sini pada Sabtu.
Jelas Ramkarpal, Terengganu menjadi destinasi terakhir selepas Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Sabah.
Ramkarpal berkata, pelbagai pandangan dan maklum balas positif diterima sepanjang sesi itu diadakan.
#Dewan Rakyat #IPCMC #Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis #Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis
;