investED dilancar, bantu 9,000 mahasiswa dalam industri pasaran modal
Hasimi Muhamad
Jun 19, 2023 13:25 MYT
Jun 19, 2023 13:25 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini melancarkan Program Bakat Pasaran Modal untuk Graduan (CMGP) yang dijangka membantu 9,000 mahasiswa mengembangkan kemahiran dan kebolehpasaran khususnya dalam industri pasaran modal.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu yang dikenali sebagai investED, ‘Melahirkan Tenaga Mahir Pasaran Modal’ turut akan membuka peluang pekerjaan kepada 600 graduan dalam tempoh satu atau dua tahun.
“Ini suatu hal yang sangat menarik kerana ia hanya menyentuh satu bidang (pasaran modal).
“Di bidang yang lain seperti yang telah saya umumkan, umpamanya kita belanjakan sekitar RM6.7 bilion setahun untuk TVET.
“Dan kejayaannya, 95 peratus mendapat pekerjaan. Masalahnya, upah itu masih RM2,000 ke bawah.
“Apa langkah yang telah diambil? Syarikat-syarikat gergasi yang besar harus ambil alih sepenuhnya TVET atau sebahagian,” katanya di sini pada Isnin.
Perdana Menteri berucap pada Majlis Perasmian CMGP di Dewan Persidangan Suruhanjaya Sekuriti (SC), di sini.
Turut serta dalam majlis pelancaran yang dihadiri lebih 1,000 orang itu, termasuk Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan serta Pengerusi SC, Datuk Seri Awang Adek Hussin.
Mengulas lanjut, Anwar berkata tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dan berpengetahuan luas, terutamanya dalam pasaran modal adalah penting untuk ekonomi mampan.
Justeru, beliau berkata investED berupaya membina asas yang kukuh untuk pertumbuhan ekonomi masa depan Malaysia.
Oleh itu, katanya, InvestED akan berperanan sebagai inisiatif unik yang menyatukan sektor kerajaan dan swasta untuk mewujudkan platform bagi kedua-dua pihak graduan dan majikan.
Inisiatif itu yang diterajui oleh SC dijangka mengatasi kekurangan tenaga mahir dalam pasaran modal, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan dan membangunkan saluran bakat mampan.
Program ini dibiayai oleh Dana Pembangunan Pasaran Modal (CMDF) dengan peruntukan sebanyak RM30 juta.