Invest Selangor komited pacu hab penerbangan perniagaan dan am menerusi SAS 2022
Eton Khir
September 8, 2022 18:50 MYT
September 8, 2022 18:50 MYT
SUBANG JAYA: Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) terus komited merangsang hab penerbangan perniagaan dan am negara dengan menganjurkan Pameran Penerbangan Selangor 2022 (SAS2022).
Pameran edisi kedua yang dirasmikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah itu diadakan di Skypark Regional Aviation Centre (RAC), Subang selama tiga hari bermula 8 hingga 10 September ini.
Exco Industri dan Perdagangan Selangor, Datuk Teng Chang Khim berkata, SAS 2022 adalah platform terbaik mengumpulkan pemain industri seluruh dunia untuk berkongsi kepakaran dan pengetahuan dunia penerbangan perniagaan dan am.
Jelasnya, inisiatif itu turut sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk mengkomersialkan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS).
“Industri Penerbangan merupakan salah satu industri yang berpotensi tinggi di Selangor kerana akan banyak menjana bagi pertumbuhan ekonomi pada masa akan datang. Walaupun industri ini telah terkesan sejak 2020, namun kini kita mula dapat melihat industri penerbangan kembali berkembang maju dengan peningkatan penerbangan domestik dan global.
“SAS akan memberi tumpuan terutamanya kepada segmen penerbangan perniagaan dan am di dalam dan luar Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah atau lebih dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang,” beliau berkata demikian ketika pelancaran Pameran Penerbangan Selangor 2022 (SAS2022) pada Khamis.
Turut hadir, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari
Pada masa sama, Chang Khim berkata, bertemakan “The One & Only Business Aviation Show In The Region”, pameran itu turut menyaksikan penyertaan dari negara luar melibatkan Singapura, Brazil, Perancis, Amerika Syarikat, Switzerland, Republik Czech, Nigeria, United Kingdom dan Malaysia.
Pada hari pertama dan kedua, SAS 2022 lebih menumpukan kepada pertunjukan yang lebih serius melibatkan rakan kongsi dan industri.
Manakala, pada hari terakhir, ia terbuka kepada orang ramai secara percuma dan kemasukan adalah melalui pendaftaran dalam talian.
Untuk maklumat lanjut layari, boleh layari laman sosial Facebook, Instagram, Linkedin @selangoraviationshow dan di Twitter @selaviationshow
*Artikel ini adalah kandungan berbayar.