Intipan AS ke atas Malaysia: Hishammuddin mahu siasatan segera
Astro Awani
November 3, 2013 23:35 MYT
November 3, 2013 23:35 MYT
Siasatan terhadap kegiatan pengintipan yang didakwa dilakukan Agensi Keselamatan Nasional (NSA) terhadap Malaysia perlu dijalankan segera dengan terperinci.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, perkara tersebut merupakan sesuatu yang serius kerana ia melibatkan keselamatan negara.
Menurut Hishammuddin, isu tersebut dikhuatiri dapat menjejaskan hubungan kerjasama yang terjalin antara Malaysia dan Amerika.
"Itu merupakan sesuatu yang amat serius lebih-lebih lagi bila ianya dilakukan oleh pihak yang kita anggap sebagai kawan dan saya percaya jika ianya tidak dapat diperjelaskan sepenuhnya mungkin hubungna kita yang telah dibina selama ini akan menjadi lebih tegang,” kata Hishammuddin.
“Tu lah saya nak tau lebih terperinci apa yang di intip kalau yang diintip itu merupakan perkara-perkara bersandar dan berkisar pada keselamatan negara kepentingan negara akan terjejas dan kita perlu mendapat secara mendalam apa dan siapa yang diintip kerana itu saya percaya boleh menjejaskan hubungan dan kerjasama telah wujud sekian lama,” tambah beliau.
Hishammuddin ditemui dalam sidang media selepas majlis rumah terbuka Adun Kahang, R. Vidyananthan sempena hari deepavali di Kluang, Johor pada Sabtu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai peta rahsia lokasi pemantauan NSA yang dibocorkan Edward Snowden yang turut mengaitkan pemantauan telefon canselor German, Angela Merkel yang mencetuskan perselisihan rentas Atlantik.
Peta tersebut menunjukan 90 lokasi pemantauan Amerika dalam misi diplomatik sedunia termasuk di Kemboja, China, Malaysia, Myanmar dan Thailand.